Thursday, 3 October 2019

MASYARAKAT IBAN, PERAYAAN GAWAI RAGAM HIAS DAN REKA BENTUK


Latar Belakang Masyarakat Iban Sarawak
Christensen (2002:32) pernah mengatakan bahawa orang Iban merupakan kaum bumiputera yang terbesar tinggal di kepulauan Borneo ini.  Numpang (1989) dalam Chemaline Usop (2006) mengatakan bahawa masyarakat Iban adalah penduduk peribumi yang paling ramai di Sarawak. Hal ini dapat kita lihat pada hari ini bahawa, masyarakat Iban mendiami hampir kesemua daerah di Sarawak yang bermula dari selatan negeri Sarawak iaitu Lundu hinggalah ke utara negeri Sarawak iaitu daerah Limbang. Namun begitu, kepadatan masyarakat Iban ini tertumpu di bahagian Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang. Namun begitu, masyarakat Iban juga ada yang tinggal di daerah Tawau negeri Sabah.

Kaum Iban pada dahulunya dikenali sebagai Dayak Laut atau pun Sea Dayak. Hal ini terbukti disebabkan oleh kaum Iban tinggal berdekatan dengan tebing sungai. Misalnya, di kawan sungai Saribas, sungai Skrang, sungai Batang Lupar dan sungai Rajang. Menurut Erik Jensen (1974), gelaran Dayak Laut yang digunakan untuk merujuk suku kaum Iban sebenarnya namun mengelirukan dan tidak sesuai. Hal ini demikian kerana, kebanyakkan masyarakat Iban mendiami kawasan bukit dan mengamalkan ekonomi yang bergantung kepada aktiviti pertanian.

Walau bagaimanapun, lama kelamaan istilah Dayak Laut telah dianggap sebagai istilah yang paling sesuai dan diterima oleh masyarakat Iban dan digunakan sehinggalah sekarang kerana Roth (1968:143) mengatakan orang Iban sering berlayar di laut. Pada masa dahulu, masyarakat Iban merupakan kaum yang suka ‘bejalai’ ataupun mengembara serta berpindah dari satu tempat ke tempat yang baharu kerana menurut Jensen (1974:18) kedatangan masyarakat Iban ke Sarawak dianggarkan selama lima belas generasi yang lalu iaitu kemungkinan melebihi tiga dekad yang lalu. Mereka berasal daripada kawasan tengah sungai Kapuas yang terletak di Kalimantan barat Indonesia (Richard, 1949). Mereka masuk melalui Lembah Kumpang, menuju ke hulu sungai hingga Lubuk Antu dan akhirnya berpecah dan menetap dibeberapa tempat seperti Lemanak, Undup, Sebuyau, Sadong, Samarahan, Lundu dan seluruh negeri Sarawak.

Salah satu bentuk organisasi sosial masyarakat Iban yang ketara adalah kebanyakannya mereka mendiami rumah panjang dan kebanyakan rumah panjang yang dibina berdekatan dengan sungai (Freeman,1970:1). Erik Jensen (1974), mengatakan bahawa sesebuah rumah panjang dibahagikan kepada tujuh bahagian iaitu bilek, dapur, pandong, ruai, sadau, tanju, dan tempuan. Sebuah bilik rumah panjang biasanya akan didiami oleh tiga generasi bermula daripada datuk, nenek, anak lelaki dan anak perempuan bersama pasangan masing masing serta anak mereka (Graham 1987:6) Kombinasi tiga generasi seperti ini adalah kombinasi yang paling ideal bagi sesebuah bilik. Organisasi masyarakat Iban berasaskan kekeluargaan kognitik (kedit 1980: 45). Secara tradisi, perkahwinan antara lelaki dan perempuan Iban diuruskan oleh ibu bapa. Selepas berkahwin kekerapan pihak lelaki menetap di rumah panjang wanita iaitu dipanggil nguai.

Bagi sesebuah rumah panjang mereka akan diketuai oleh seorang tuai rumah. Tuai Rumah adalah orang yang bertanggungjawab dalam mentadbir serta mengurus di rumah panjang tersebut serta menguatkuasakan undang-undang atau adat (Jensen, 1974). Pada masa dahulu, jawatan tuai rumah ini merupakan jawatan yang diwarisi. Namun pada masa sekarang jawatan tuai rumah ini akan dipilih oleh ketua-ketua bilik dalam rumah panjang tersebut. Tuai rumah juga akan diganti sekiranya tidak mendapat kepercayaan daripada komuniti rumah panjang tersebut ataupun jika tuai rumah sudah tua untuk mentadbir.

Pada zaman dahulu, masyarakat Iban digelar sebagai masyarakat yang pemenggal kepala berikutan pada ketika itu mereka terkenal dengan amalan ngayau (Chemaline Usop, 2006:1). Selain itu juga, Vinson (2001:2) mengatakan bahawa masyarakat Iban juga pengembara. Selama bertahun mereka telah bergerak melalui bukit-bukit di Borneo, menanam padi, memburu dan menangkap ikan, serta memperluaskan wilayah mereka. Mereka juga berpindah ke lembah sungai Rejang dan mereka menanam padi paya, getah, lada hitam dan bekerja makan gaji. Justeru itu, masyarakat Iban juga seringkali dikenali sebagai masyarakat yang selalu berpindah dan merantau dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencari rezeki dan serta kehidupan yang baharu.

Dari segi bahasa pula, bahasa Iban merupakan serumpun bahasa melayu astronesia, tetapi bahasanya sukar difahami oleh seseorang penutur bahasa melayu di semenanjung atapun di Indonesia  dan boleh dianggap dialek (Ngadi, 2001:xxvii). Menurut Richards (1981:ix) bahasanya ada kaitan dengan bahasa penutur di Sumatera perbezaannya hanya terdapat pada bunyi. Namun begitu, penggunaan  bahasa Iban di Sarawak meluas di keseluruhan daerah dan difahami oleh kaum yang lain.

 Agama dan Kepercayaan
Dalam masyarakat Iban, agama amat dekat dengan kehidupan mereka dan upacara agama diamalkan dalam hampir semua aktiviti kehidupan mereka. Kepercayaan ini dilakukan dengan melakukan upacara tertentu serta kepercayaan yang telah diamalkan secara turun temurun. Pada masa dahulu, terdapat empat individu yang penting dalam sistem agama dan kepercayaan Iban iaitu tuai burung, tuai rumah, lemambang dan manang.

Tuai Burung
Tuai burung merupakan orang yang penting dalam kehidupan seharian masyarakat Iban pada masa dahulu. Menurut Benedict Sandin (1980), tugas tuai burung  adalah seorang yang pandai meramal dan mentafsir alamat dan mimpi. Ia juga bertanggungjawab meramal mimpi yang dialami oleh orang lain dan diri dia sendiri.

Tuai Rumah
Tuai rumah merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran adat resam serta undang-undang sosial dalam rumah panjang. Di samping itu, ia juga menjaga hubungan antara orangnya dalam rumah panjang. Tuai rumah juga merupakan wakil bagi masyarakat rumah panjangnya.

Lemambang
Lemambang boleh dianggap sebagai pendeta yang menuturkan segala proses adat dan kepercayaan terutamanya dalam perayaan gawai. Lemambang merupakan seorang yang boleh dianggap penting dalam sistem kepercayaan dan adat. Hal ini demikian kerana, dia adalah penutur pengap[1] ketika mengadakan perayaan gawai. Untuk menjadi seorang lemambang  memerlukan masa serta waktu yang agak lama kerana memerlukan latihan serta pembelajaran yang formal daripada lemambang yang sudah mahir dalam pengap (Jamilah Haji Ahmad & Jonathan Singki, 1989)[2].

Manang
Manang adalah dukun ataupun bomoh yang bertanggungjawab mengubati orang sakit. Mereka percaya roh-roh berkeliaran di waktu malam dan boleh melihat di dalam gelap. Seseorang yang bakal menjadi manang kebiasaaanya dia bermimpi berjumpa seseorang yang dipanggil “yang”  terlebih dahulu.

          Kepercayaan dalam masyarakat Iban adalah berkaitan dengan adat serta pantang larang yang perlu dipatuhi. Masyarakat Iban juga masih berpegang kuat pada adat dan budaya yang diwarisi turun temurun. Antara adat yang masih lagi diamalkan oleh masyarakat Iban seperti adat miring, bebiau, belian, mengap serta adat berkaitan gawai.

Istilah adat berasal daripada bahasa arab yang boleh diertikan sebagai sesuatu kebiasaan (Saidatul Nornis, 2004:35). Namun begitu, berdasarkan Suwaji Bastomi (1992:11) adat merupakan sifat patuh yang harmoni serta saling berkaitan dengan perlakuan di antara satu sama lain. Maka dengan itu, adat ini mempunyai pantang larangnya dan tidak boleh dilanggar sesuka hati. Seseorang yang melanggar adat akan merasa bersalah dan berdosa sebab adat telah diterima sepenuhnya dan diyakini kebenarannya. Namun begitu, kebanyakan adat ini telah ditinggalkan disebabkan pengaruh agama lain seperti agama Kristian yang telah meresap ke dalam kehidupan mereka.

Selain itu, alam masyarakat Iban adalah dipengaruhi oleh jenis roh ghaib iaitu petara, antu, serta semangat orang yang telah meninggal dunia, tumbuh-tumbuhan, manusia, mamalia atau jelu reptilia seperti ular, burung, serangga, ikan (Jensen, 1974:4). Dewa utama dalam masyarakat Iban adalah sengalang burung iaitu dewa perperangan, raja menjaya dewa kesihatan dan perubatan, simpulang gana dewa tanah dan tumbuhan, biku bunsu petara dewa kesuburan dan kemewahan, sempandai merupakan dewa penyembuh dan pencipta serta anda mara dewa harta. Selain itu juga, terdapat dewa wira dan wirawati dalam masyarakat Iban iaitu Keling dan Kumang. Keling merupakan seorang pahlawan yang perkasa dan sentiasa menolong semasa perperangan apabila mendengar namanya dipanggil dan diseru. Kumang pula penaung kepada para penenun, walau bagaimanapun dia juga penolong para masyarakat Iban. Menurut Ngadi (2001) orang Iban juga turut percaya bahawa mereka akan ditolong oleh roh nenek moyang mereka.


Aktiviti Ekonomi Masyarakat Iban
Masyarakat Iban merupakan penanam padi bukit yang paling banyak dikatakan di dunia (Sultive,1978:3). Sultive (1978:9), mengatakan bahawa masyarakat Iban ini berpindah randah disebabkan oleh keperluan di mana mereka perlu menyesuaikan diri dengan habitat atau persekitaran semula jadi untuk kehidupan yang baharu dan mencari kehidupan yang selesa. Kadang-kadang masyarakat Iban tradisional dahulu berpindah disebabkan bala atau musibah yang berlaku di tempat asal. Di samping itu juga, perpindahan kaum Iban sering kali juga dipengaruhi oleh penerokaan tanah baharu ataupun berimba temuda untuk tujuan pertanian dan bercucuk tanam. Pada suatu ketika dahulu, kaum Iban kebanyakkannya menjalankan aktiviti berumai  ataupun berhuma bercucuk tanam dan menanam padi bukit dan sesetengah mereka terlibat dengan pemungutan hasil hutan seperti rotan untuk dijual (Vinson Sultive 1978:21).  Hal ini disebabkan kawasan yang didiami oleh kaum Iban adalah kawasan yang berbukit bukau dan hutan tebal maka dengan itu mereka cenderung ke arah menanam padi bukit, jagung, ubi dan sebagainya. Vinson Sultive (1978), pernah mengatakan bahawa jika tanaman berhuma ini tidak membuahkan hasil, maka hal sedemikian akan menjatuhkan imej mereka. Namun begitu, ada juga sekumpulan yang moden berhijrah ke kota dan terlibat sepenuhnya dalam ekonomi kewangan (Kedit 1980:193).

Selain mengusahakan tanaman padi, mereka juga  turut menanam lada hitam. Lada hitam ditanam sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga. Pengusahaan lada hitam diusahakan menggunakan kaedah penanaman tradisional. Pada asalnya lada hitam dibawa oleh buruh asing yang datang bekerja dan berhijrah ke Sarawak sekitar abad ke-18, pada ketika itu masyarakat Iban sedang  mengusahakan tanaman seperti koko, getah serta tanaman sampingan yang lain. Selain itu, masyarakat Iban turut menjalankan aktivit memburu, menangkap ikan serta memungut hasil hutan lain untuk menyara keluarga mereka. Mereka memburu binatang yang boleh dimakan dan juga dijual seperti babi hutan, pelanduk, kijang, rusa dan binatang yang lain.

  Adat Rabat (Adat Kematian)
Pada masa dahulu, masyarakat Iban percaya bahawa penyakit yang menimpa mereka boleh menyebabkan kematian adalah disebabkan dua perkara iaitu pansa utai  ataupun oleh makhluk halus jahat serta empa ubat ataupun ilmu sihir (Benedict Sandin, 1980). Apabila berlakunya kematian, penduduk rumah panjang akan memukul tawak sebanyak tiga kali untuk memberitahu bahawa ada kematian di rumah panjang tersebut. Dalam masyarakat Iban, adat kematian masih diamalkan sehingga hari ini terutamanya mereka yang tinggal di rumah panjang. Semasa kematian seseorang, perkara pertama yang dilakukan di rumah panjang tersebut adalah ngancau tikai yang mana akan dibuat di ruai.  Selain itu, sebatang alu dan lesung akan diletakkan melintangi depan pintu hilir dan hulu rumah panjang. Perkara tersebut bertujuan untuk menyekat kemasukan hantu daripada menagmbil roh si mati (Ngadi 2001:66).  Selepas itu, mayat tersebut akan dimandikan dan dipakaikan pakaian yang paling cantik serta lengkap dengan barangan kemas kepada si mati (Sandin:1980:33). Selepas itu, si mati akan dibawa dari bilek ke ruai yang sudah disapat ataupun didinding menggunakan pua kumbu.

          Semasa kematian, kaban belayan ataupun sanak saudara serta sahabat andai akan datang menziarahi si mati dan sanak saudara. Selepas itu, mayat akan diletakkan di ruangan tengah ruai rumah panjang. Di ruai tersebut akan dibuat pagar berbentuk segi empat bujur dengan merentangkan tali pada empat tiang. Pua kumbu disidai pada tali tersebut membentuk sapat.  Semua barang-barang peribadi kepunyaan si mati akan diletakkan berdekatan si mati barang tersebut dipangil baiya pandang. Keperluan lain seperti yang diperlukan oleh orang yang masih hidup juga disediakan untuk kegunaan si mati di dunia dunya sebayan. Sepanjang siang dan malam tukang sabak akan ditugaskan untuk menangisi si mati. Tangisan oleh tukang sabak untuk si mati dipanggil sebagai sabak bebuah. Tangisan tersebut adalah dalam doa yang mengiringi si mati ke alam dunya sebayan.

          Menjelang subuh pada hari yang ketiga ataupun hari kedua barulah mayat akan dihantar ke kuburan. Pada waktu subuh tersebut, mayat akan disimpan dalam keranda dan simbolik pemberian makanan terakhir kepada si mati akan dijalankan. Simbolik ini bertujuan supaya roh si mati dapat menahan kelaparan dan kehausan sepanjang perjalanannya yang jauh menuju ke alam sebayan (Sandin, 1980:34). Pinggan, mangkuk dan cawan yang digunakan untuk menghidangkan makanan akan dipecahkan dan dibuang ke bawah rumah panjang. Jika si mati sudah berkahwin, pasangannya akan menyarungkan cincin ke jarinya sebagai tanda perpisahan. Hal ini sedemikian kerana untuk mengelak daripada dihantui oleh roh si mati nanti. Selepas itu barulah orang ramai akan berkerumun di hadapan keranda menangis meratapi si mati buat kali yang terakhir. Pada ketika itu, tukang sabak telah habis menyanyikan lagu suci dan percaya roh si mati sudah sampai di sebayan.

Kemudian barulah upacara menghantar mayat ke tapak pengebumian akan dilaksanakan pada waktu subuh iaitu pukul lima pagi. Lubang akan digali, satu upacara menyembah tanah akan dilakukan dimana orang yang paling tua dalam keluarga si mati akan mantap tanah dan seekor ayam akan disembelih dan sedikit beras akan ditabur pada tapak kuburan simati. Selepas keranda diturunkan, barang baiya si mati akan diletakkan di atas kuburan dan ada yang ditimbus bersama keranda misalnya barang pinggan mangkuk yang dibawanya. Selepas itu, di atas kuburan akan dibuatkan pondok ataupun langkau yang beratapkan zink dan tanpa dinding (Ngadi 2001:69).

 Selesai acara dari kuburan upacara berkabung atau ngulit dijalankan. Seisi keluarga si mati memakai barang kemas, memakai pakaian yang cantik, muzik tidak boleh dimainkan di rumah panjang sepanjang perkabungan. Menurut Roth (1968:1258) mereka yang kehilangan sanak saudara terdekat sepatutnya berpakaian buruk sehingga habis tempoh berkabung. Biasanya acara berkabung dilakukan selama tiga bulan, namun pada masa kini terutamanya di kawasan penyelidik tempoh berkabung hanya dua minggu sahaja.

Selepas itu, barulah acara ngetas ulit ataupun menamatkan perkabungan dijalankan.  Pada malam ngetas ulit upacara beserara bungai dijalankan. Upacara ini adalah untuk memisahkan roh orang yang masih hidup dengan orang yang telah meninggal dunia agar tidak mengganggu mereka. Hal ini demikian kerana, dipercayai bahawa walaupun seseorang itu telah meninggal dunia, semengatnya masih lagi bergaul dengan semengat orang yang masih hidup dan boleh mendatangkan kesan buruk seperti semengat yang telah mati mahu membawa semengat orang yang masih hidup menyertainya di dunia sebayan. Oleh itu, segala hubungan kemesraan dan kerinduannya yang berpanjangan terhadap mereka yang masih hidup mesti diputuskan (Sandin 1980:38). Upacara beserara bungai ini dijalankan oleh manang atau bomoh. Setelah habis tempoh berpantang yang ditetapkan oleh keluarga si mati, maka upacara berkabung pun tamat. Selepas itu, upacara ritual Gawai Antu akan dilakukan untuk meraikan roh si mati akan dijalankan (Benedict Sandin, 1994). Semasa perayaan  Gawai Antu barulah sungkup akan dihasilkan.


 Perayaan Gawai dalam Masyarakat Iban
Dalam masyarakat Iban, mereka akan merayakan pelbagai jenis perayaan hari gawai. Perayaan gawai adalah pesta utama bagi masyarakat Iban sebagai upacara keagamaan dan kepercayaan iaitu untuk menyembah petara nenek moyang mereka. Namun begitu, bagi masyarakat dayak, gawai yang diraikan pada 1 jun sebenarnya tiada kaitan dengan ritual tradisional yang lain. Gawai Dayak yang dikenali pada hari ini diraikan atas permintaan ketua masyarakat dayak (Jeniri Amir: 2001). Gawai bererti keramaian atau majlis bersuka ria yang sering dimeriahkan dengan adanya hidangan jamuan makanan, minuman tuak, pesta tarian seperti ngajat dan aktiviti yang menghiburkan. Menurut kepercayaan orang Iban, gawai dipercayaai telah diajar oleh Petara Sengalang Burung ataupun lebih dikenali sebagai aki lang menaul nyakai (Tuhan dalam masyarakat iban yang sangat berkuasa dalam hal peperangan atau lebih dikenali sebagai dewa perang).

Umumnya bagi masyarakat Iban, perayaan gawai ini bertujuan untuk mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan dan ‘semangat’ yang telah merestui kegiatan kehidupan seharian mereka. Semasa perayaan gawai diadakan,  masyarakat Iban yang masih mengamalkan kepercayaan lama serta ritual, mereka akan menyediakan makanan yang akan dipersembahkan kepada Petara dan meminta kesyukuran pada masa akan datang dan bertambah rezeki yang melimpah ruah, maka dengan itu mereka akan menyediakan makanan tersebut yang dikenali sebagai piring.

Perayaan gawai adalah masa untuk membuat pemujaan, permohonan, rayuan, seruan ataupun doa yang dibuat untuk Petara ataupun Tuhan. Namun begitu, cara untuk melakukan gawai mungkin berbeza mengikut tempat dan berbeza caranya namun objektifnya tetap sama. Dalam kehidupan masayarakat Iban, perayaan gawai ini boleh dibahagikan kepada beberapa perayaan gawai iaitu gawai berkaitan pertanian, gawai berkaitan tujuan peperangan, gawai berkaitan kematian dan gawai berkaitan dengan sebuah kejadian.


 Gawai berkaitan dengan Pertanian
Antara jenis perayaan gawai yang berkaitan dengan pertanian adalah gawai batu dan gawai ngemali umai.

          Gawai Batu merupakan perayaan yang penting diraikan oleh masyarakat Iban. Gawai ini kebiasannya dijalankan sebelum pembukaan tanah baharu untuk pertanian terutamnya menanam padi. Kebiasannya perayaan gawai batu diadakan pada awal bulan kelima mengikut kalendar Iban, iaitu bersamaan bulan jun kalendar barat. Perayaan ini dikenali sebagai gawai batu kerana batu yang bewarna hitam atau kelabu digunakan untuk mengasah alat pertanian seperti parang, pisau cangkul dan sebagainya.
         
Semasa perayaan gawai batu ini, batu umai tersebut akan dipuja dan dijampi khas untuk memohon berkat dan restu daripada dewa tanah orang Iban iaitu raja jembu duduk di batu tinggi dedinggai iaitu bapa kepada sempulang gana tanah. Namun begitu, perayaan gawai batu bukanlah upacara tahunan yang wajib dilakukan dan hanya akan dilakukan jika hasil padi tidak menjadi. Segala jenis bahan untuk gawai batu perlu diperrsembahkan kepada sempulang gana.

          Selain itu juga, gawai ngemali umai juga merupakan gawai yang diraikan untuk melindungi tanaman padi. Kebiasaannya upacara gawai ini dilakukan oleh seseorang yang pandai menghalau roh jahat. Perkara menghalau roh jahat akan dilakukan oleh bomoh, mahupun lemambang atapun tuai burung. Upacara ini kebiasannya dilakukan pada musim mantun ataupun merumput iaitu sekitar bulan oktober hinggalah bulan november. Pada masa tersebut, pokok padi masih kecil dan kebiasaannya diserang oleh serangga dan penyakit. Jampi dan doa akan dilakukan untuk mengusir semangat jahat dan menyeru semangat yang baik untuk membantu pokok padi hidup subur. Sawah padi tersebut akan menjadi kawasan larangan selama tiga hari berturut turut. Kemudian patung engkeramba akan didirikan atas sawah sebagai penjaga dan petanda bahawa kawasan sawah tersebut mali. Hal ini kerana, dalam kepercayaan bahawa ada semangat yang baik membersihkan sawah tersebut daripada sebarang penyakit.

Upacara seterusnya dijalankan di pondok sawah adalah semua petani akan berkumpul dan dimulakan dengan dua orang wanita akan menabur benih padi sekeliling pondok tersebut. Hal ini bertujuan untuk menghalau semangat yang jahat mengganggu tanaman mereka. Selepas itu, mereka akan membuat upacara ritual miring. Kaum lelaki akan membuat serepak atau tangkal yang diperbuat daripada buluh. Akhir sekali sebuah pondok kecil akan didirikan di jalan masuk ke sawah tersebut. Patung pahlawan akan diukir lengkap dengan parang simbolik kepada penjaga sawah tersebut. Selepas berpantang selama tiga hari, sawah boleh dikerjakan seperti biasa.

Namun begitu, kedua dua perayaan gawai di atas amat jarang dilakukan pada hari ini kerana masyarakat Iban suda mengamalkan ajaran agama kristian mahupun agama lain.


Gawai burung
Gawai burung dilakukan kerana tiga perkara iaitu diadakan semasa ataupun sebelum pergi berperang atau mengayau.  Selain itu, seseorang bermimpi dan disuruh oleh petara atau Tuhan untuk mengadakan perayaan gawai burung. Seterusnya adalah memperoleh pendapatan hasil pertanian yang banyak ataupun pulang daripada merantau setelah mendapat pendapatan yang lumayan maka dengan itu barulah gawai burung akan dilaksanakan. Kebiasaannya gawai burung akan diketuai oleh lemambang. Menurut informan Giman anak Langi, gawai burung dilakukan berdasarkan cerita dewa perang orang Iban iaitu aki lang sengalang burung jagu menaul tuntung, iaitu abang sulung kepada sempulang gana iaitu dewa tanah. Sengalang burung ditugaskan untuk menjaga hal ehwal peperangan orang Iban. 


Gawai pangkong tiang
Gawai pangkong tiang adalah upacara yang disambut apabila masyarakat Iban berpindah ke rumah panjang yang baru.  Tujuan gawai ini dilakukan untuk meminta niat, tuah yang bagus daripada dewa Anda Mara Raja Tuah. Gawai ini akan disambut pada malam pertama selepas berpindah. Perayaan dilakukan di ruai rumah panjang. Upacara memukul tiang pemun atau tiang utama terlebih dahulu untuk memulakan ritual. Upacara ini biasanya dilakukan oleh dua orang perempuan yang membuat piring serta membalut tiang menggunakan kain tenunan daripada benang emas ataupun menggunakan pua kumbu. Mereka akan menyapu tiang menggunakan minyak buah kepayang. Para lemambang akan mengetuai upacara gawai pangkong tiang.


Perayaan Gawai Antu
Gawai antu merupakan perayaan yang diadakan untuk menyampaikan persembahan kepada roh saudara mara yang telah mati dan ia merupakan sebagai tanda berakhirnya kesedihan yang mereka alami kerana ditinggalkan oleh si mati (Hassan Mat Nor :1979). Gawai antu juga merupakan salah satu gawai yang terbesar dalam masyarakat Iban. Menurut cerita lisan daripada orang Iban, perayaan gawai antu diasaskan oleh orang Iban yang bernama Serapoh, iaitu sepupu kepada sengalang burung yang mempelajari upacara daripada puntang raga. Perayaan ini sangat besar maknanya kepada masyarakat Iban. Mereka mesti merayakan gawai ini sekurang kurangnya sekali dalam seumur hidup. Namun begitu, menurut informan Kedit anak Chundang, gawai antu ini dilakukan lagi sekiranya ada antu ataupun orang yang sudah meninggal yang belum diraikan, tetapi ia akan diadakan apabila mereka sudah mempunyai perbelanjaan yang cukup digunakan untuk mengadakan upacara  gawai antu.

Perayaan gawai antu merupakan perayaan gawai yang saling berkaitan dengan pembinaan sungkup. Hal ini kerana, sungkup merupakan pondok yang didirikan selepas kematian dan dibuat semasa perayaan gawai antu dijalankan. Dalam perayaan gawai antu, orang Iban dikehendaki untuk membuat sungkup, iaitu monumen pondok kematian di atas kubur yang diperbuat daripada kayu yang keras iaitu kayu belian. Sungkup hanya diukir oleh tukang yang mahir sahaja, dan kebiasaannya saudara terdekat kepada si mati. Di Sarawak, terdapat beberapa monumen pemakaman kematian oleh etnik lain misalnya kaum Kejaman, Kayan, dan Melanau.

Clifford Sather (1993:95) dalam penulisan berjudul The Gawai Antu membincangkan pada awal dan akhir dalam upacara utama gawai antu adalah peringkat pembinaan rumah ritual. Gawai akan dimulakan dengan gawai Beban Ramu Sungkup. Selepas itu diikuti oleh ngeretok, iaitu penyediaan bahagian pondok sungkup, dan dipasang di tanju oleh setiap keluarga untuk paparan tetamu yang hadir. Akhir sekali, sebaik selepas upacara gawai, Sungkup akan dibawa keluar dari rumah panjang dan dihantar ke tanah perkuburan. Sungkup dipasang semula di atas kuburan.

Sementara itu, Florence Genta dalam artikel akhbar New Sarawak Tribute bertarikh 23 April 2015 membincangkan:

Gawai Antu which means ‘Festival for the Departed Souls”, is celebrated by the Ibans, particularly in Sri Aman and the central region of Sarawak. Among the rituals of the Gawai Antu are the “Beburong” ceremony which is followed with a sacrifice of chickens and pigs. The festival is enlivened by activities such as a ‘sabong ayam’ (cock fight) and ‘muat asi’ (offering of rice) for the departed souls. During Gawai Antu, bananas tress will be set up the ruai (verandah). The banana tress will be decorated with food, biscuits and drinks.

          Gawai Antu bermaksud festival untuk pemisahan roh yang disambut oleh masyarakat Iban, khususnya di Sri Aman dan wilayah tengah Sarawak. Antara upacara ritual Gawai Antu adalah upacara beburong yang diikuti dengan pengorbanan ayam dan babi. Perayaan ini dimeriahkan dengan aktiviti-aktiviti seperti sabungi ayam dan membuang nasi untuk roh yang telah meninggal dunia. Semasa Gawai Antu, pokok pisang akan ditubuhkan di ruai. Pokok tersebut diberi nama sebagai ranyai yang dihiasi dengan makanan, biskut dan minuman.

Selain itu juga, Tom Harrison juga turut mengatakan antara aktiviti yang dipaparkan semasa perayaan Gawai Antu misalnya, ngulu petara, ngerandang jalai, ngelalau, nimang jalung, ngirup jalung dan juga ngambi tebalu mansau seperti dalam petikan berikut:

Similarly, the central Sea-Dayak communal rites of the great periodic Gawai Antu feast derive in the Iban mythology from the "God" Apai Puntang Raga teaching terrestrial Serapoh better methods of dealing with the journey of spirits from corpses and controlling uninvited returns due to inadequate funerary treatment. The apex of Gawai Antu is the set of elaborate procedures (Ngalu Petara, Ngerandang Jalai and.Ngelalau), which first clear and then enclose a path for the spirits of the departed to return, via the following incantations of the Nimang Jalong song-cycle, directly to the longhouse and this actual feast. Only when the dead have, in this way, rejoined the living, can the sacred wines (ai jalong timang, etc.) be taken; and only after this should widows and widowers discard their mourning through the ngambi tebalu mansau ceremony. Lustration, the cult of ancient Chinese jars, and the detailed set of mourning prohibitions now lifted, all link in this set of innovations, dating "twenty-seven genealogical generations" back, before the Ibans had moved westward, into Sarawak. Iban Gawai Antu also has some intimate parallels in Kenyah manmt. Many other parallels may be drawn- for Borneo funerary rites and "relies". (Tom Harrisson, (1962:14).
         
          Berdasarkan mitologi masyarakat Iban, Apai Puntang Raga telah mengajar orang Iban yang bernama Serapoh  cara untuk menguruskan perjalanan roh-roh orang yang telah meninggal dunia dengan mengadakan perayaan Gawai Antu. upacara yang dilakukan semasa perayaan gawai antu adalah Ngalu petara, Ngerandang jalai, dan ngelalau untuk mengiri roh orang yang telah meninggal dunia berangkat kembali semasa peraaan gawai antu. Selepas itu, upacara nimang jalong juga diadakan iaitu penjamuan air suci hanya boleh diminum oleh orang yang telah ada dengah atau pernah memenggal kepala semasa aktiviti mengayau. Hal ini demikian, untuk mengelakkan alah bulu dan alah ayu. Selepas itu, bagi yang balu akan menamatkan proses perkabungan mereka dengan mengadakan upacara ngambi tebalu mansau. Perayaan gawai antu juga hampir sama dengan perayaan manmt kaum Kenyah.


Binaan Pemakanan Tradisional di Sarawak
Berdasarkan kepada kajian terdahulu banyak aktiviti pemakaman yang dilakukan di Sarawak. Misalnya oleh kaum Orang Ulu, Melanau, serta Orang Melayu di Sarawak. Tanda-tanda ini dihasilkan sebagai simbol menghormati roh si mati. Misalnya tanda kematian yang dihasilkan oleh masyarakat peribumi di Sarawak ialah jerunai, keliring dan salong. Bagi masyarakat Melanau, mereka mempunyai satu bentuk pemakaman yang unik iaitu mereka akan membina tiang pengebumian untuk ketua mereka. Tiang tersebut dikenali sebagai jerunai. Tiang jerunai ini merupakan sebatang tiang tunggal yang diukir dengan corak-corak tradisional. Bahagian terasnya ditebuk bagi menempatkan tempayan yang berisi tulang ketua mereka yang telah mati.

Masyarakat Orang Ulu iaitu Kayan juga menghasilkan pondok kematian sebagai tanda memperingati si mati. Keliring ialah tempat persemadian kedua iaitu apabila mayat telah reput, tulang si mati akan diletakkan di dalam tempayan, kemudian tempayan diletakkan di bahagian atas keliring. Keliring ini akan dihiasi dengan pelbagai corak dan motif yang sinonim dengan masyarakat itu sendiri. Ukiran yang unik dan terperinci jelas ditonjolkan pada setiap bahagian keliring tersebut.

          Selain itu, Salong dihasilkan oleh masyarakat Kejaman sebagai tanda kematian untuk ahli keluarga si mati yang mampu yang berketurunan “laja levou”.  Dalam salong tersebut akan disimpan tajau yang mempunyai tulang rangka badan si mati. Bagi mereka yang kurang mampu mereka akan menanam tajau itu ke dalam lubang kubur manakala keranda yang telah dikosongkan akan dihanyutkan diatas rakit khas yang dipanggil atu  ataupun ditempatkan di atas pokok (Joan Amee, 2018:30).

Tanda pengebumian Masyarakat di Sabah
Selain daripada cara pemakaman di Sarawak negeri sabah juga tidak ketinggalan juga dengan cara pemakamam mereka sendiri misalnya masyarakat Murut. Masyarakat Murut biasanya tinggal di daerah Tenom, Pensiangan dan Keningau. Kaum Murut juga terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagol, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, dan Murut Serundung. Mereka mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Masyarakat Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Mereka akan membuat pengembumian dengan cara menyimpan mayat di dalam tajau.

Selain itu, masyarakat Bajau Kubang di Pulau Omadal juga membuat tanda kematian mereka menggunakan sunduk. Pulau Omadal terletak di Laut Sulu dan perjalanan ke Pulau Omadal mengambil masa kira kira dua jam dari Semporna. Kieffer (1968) menulis mengenai kematian masyarakat Bajau dan menganggap tanda kematian masarakat Bajau unik kerana mereka mengklasifikasikan tanda kematian berdasarkan jantina dan umur. Identiti kesenian berkaitan upacara kematian masyarakat Bajau diserlahkan melalui ragam bentuk Sunduk. Bentuk sunduk pipih dan lebar adalah simbol kepada kaum wanita, manakala sunduk yang berbentuk silinder adalah simbol kaum lelaki. Berikut merupakan sunduk wanita dan lelaki



Sungkup
Lazimnya, pondok sungkup mempunyai ragam hias yang menarik. Motif dan corak yang menghiasi sungkup adalah sebuah identiti kepada sesebuah kaum di seluruh dunia. Pengkaji juga merujuk beberapa buku penulisan daripada penulis tempatan dan barat sebagai contoh Ismail Ibrahim (2007) yang banyak menulis komponen kebudayaan yang berkaitan reka bentuk dan motif Kadazandusun di Sabah melalui paparan gambar visual, ini menjadi petunjuk serta gambaran dan idea kepada pengkaji untuk melakar dan menganalisis motif yang terdapat pada ukiran sungkup. Kajian mengenai motif dan corak juga telah dibincangkan oleh penulis Sarawak sendiri seperti (Agustine Anggat Ganjing: 1991).

 Clifford Sather (1993:10) dalam penulisan berjudul The Gawai Antu membincangkan, gawai Antu adalah hari merayakan orang yang telah meninggal dunia dan melengkapkan transformasi akhir ke dalam roh-roh (merantu). Transformasi ini dilaksanakan terutamanya dengan membina pondok makam iaitu Sungkup diatas kuburan orang yang telah mati. Pondok tersebut dipenuhi ukiran dan dilengkapi dengan Garong atau bakul. Selain itu, penghasilan makan sungkup melambangkan pencapaian si mati. Tambahan pula,  dalam dunia sebayan pondok ini mewakili rumah panjang saiz penuh atau, secara keseluruhannya dan bahagian-bahagian rumah panjang tunggal.


Ngeretok Sungkup (Pembuatan Sungkup)
Menurut Henry Gerijih (1998) apabila hari ngeretok telah tiba, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ketua gawai adalah mendirikan tempat khas yang akan diletakkan di atas api untuk memanggang nasi pulut di tebing sungai. Selepas itu, sekumpulan lelaki muda di rumah panjang memukul gong yang berirama yang dikenali sebagai gendang rayah. Gendang rayah adalah muzik khas yang dimainkan untuk memanggil serta untuk menghiburkan para dewa dan roh. Muzik tidak boleh berhenti sehingga kerja pada pelantar selesai. Akhirnya, pada jam 5 petang pada hari yang sama, wanita akan berkumpul di tepi sungai untuk merendam nasi pulut. Pada masa yang sama juga, orang lelaki yang tua di rumah panjang akan mula mendirikan khemah suci yang dikenali sebagai rugan di mana persembahan akan dilakukan setiap hari sehingga penamatan seluruh pesta Gawai Antu.

 Nganjong Sungkup (Menghantar Sungkup)
Henry Gerijih (1998) juga mengatakan bahawa pada awal pagi keesokan harinya, penghuni rumah panjang dan saudara-mara serta tetamu yang datang akan menghantar dan mendirikan sungkup serta bahan kayu lain di atas tanah perkuburan masing-masing. Bakul suci yang dipanggil Garong akan digantung pada sungkup. Semasa nganjung sungkup, semua jenis makanan dan minuman yang telah dibekalkan secara khusus untuk upacara ini terus dibahagikan kepada  mereka yang hadir di tanah perkuburan maka ianya menandakan berakhirnya upacara Gawai Antu.

Monumen Megalitik
Fungsi sesebuah monumen bukan sahaja sekadar sebagai penanda kota ataupun landmark, tetapi juga merupakan alat untuk memperingati kembali tokoh tokoh, atau pahlawan yang telah meninggal dunia dan juga sebagai memperingati peristiwa yang pernah berlaku di tempat tersebut. Misalnya, Kaum Kelabit di Ulu Baram mempunyai monumen megalitik yang menjadi tanda sebagai tapak pengebumian. Sebahagian monumen tersebut bersaiz besar dan ada yang bersaiz sederhana. Timbunan batu besar yang disusun dengan menarik jelas bertujuan sebagai tanda untuk memperingati si mati.

Redstone dan Louis (1981), mengatakan bahawa monumen mempunyai hubungan rapat dengan landmark kerana monumen mempunyai sejumlah elemen yang memberikan ciri melalui seni dan arkiteknya. Secara amnya, bangunan monumen pada sesebuah lokasi tertentu memberikan ciri visual sesebuah bandar ataupun memberitahu arah sesebuah kota. Namun dalam fungsi sosialnya pula, monumen sebagai cerminan masyarakat yang merekflesi nilai sosial budaya serta sebagai warisan yang dianggap penting dari satu generasi kepada generasi yang lain untuk pembangunan aspek spriritual masyarakatnya.

Selain itu, seni bangunan monumen juga merupakan salah satu bentuk bangunan arkitektur yang mengeskpresi jati diri sebagai kesinambungan masa lalu, kini, dan masa yang mendatang (Sidharta 1986). Tambahan pula, monumen bentuk karya seni bangunan yang mempunyai fungsi serta misi yang diwujudkan secara visual melalui satu supaya simbol agar dapat tercipta maksud dan komunikasi antara orang yang melihatnya.  Sebagai sebuah karya seni yang dipertontonkan kepada orang ramai, seni bangunan monumen dibuat berdasarkan sejumlah prasyarat, kaedah serta prinsip-prinsip yang mendasari sehingga sesuai dengan maksud dan tujuan dibangunankan sebuah monumen.

 Aspek Reka Bentuk dan Ragam Hias
Reka bentuk boleh diertikan juga sebagai seni reka. Sesuatu reka bentuk seharusnya menghasilkan pengalaman emosi serta kenyataan tampak. Joseph Krause dalam Siti Zainon (1996:3) memberikan takrif bahawa reka bentuk ini dibahagikan kepada dua nilai yang berlainan peranan iaitu seni gunaan dan seni estetik.

Elemen Reka Bentuk
Bentuk merupakan arkitektur titik pertemuan antara masa, bentuk arkitektur, tekstur, bahan, cahaya dan bayangan serta warna yang merupakan perpaduan dalam menentukan nilai atau jiwa dalam ruang. Mutu arkiterktur akan ditentukan oleh seseorang perancang yang menggunakan unsur, sama ada dalam pembentukan ruang dalam, mahupun ruang luar serta sekeliling bangunan (Edmund n Bacon, 1974). Kebanyakan pereka bentuk akan bersetuju bahawa rekaan bukanlah satu proses yang bersih, dengan erti kata lain prosesnya tidak automatik bergerak dengan kadar yang tetap, pada arah tertentu, tertib dan rasional (Paul Laseau, 2012).

Dalam prosedur menyediakan proses reka bentuk ini hendaklah memerlukan penelitian yang lebih agar dapat menghasilkan kualiti yang baik dalam pembinaan rumah dan bangunan. Proses reka bentuk juga telah digunakan pada masa dahulu lagi walaupun ianya hanya setakat untuk menghasilkan rumah tradisi yang tidak memerlukan teknologi contohnya seni bina pada masa sekarang. Menurut Aida (1993:31) proses mereka bentuk bangunan boleh dilihat sebagai penyerapan semua faktor yang berkaitan, menyusun faktor mengikut keutamaannya, menganalisis berhubung kait antara faktor-faktor tersebut, membentuk kesimpulan berkenaan yang saling berkaitan dan mencapai satu penyelesaian logik yang memuaskan secara syarat.

Menurut buku yang berjudul Akustuk Seni Bina oleh Ibrahim Md Najib (1991:2) matlamat seni bina adalah untuk menghasilkan suatu keadaan terkawal dalam bangunan supaya deria manusia dapat merasakan keselesaaan atau persekitaran yang indah dipandang, sederhana kepanasannya, tidak terlalu sejuk, tidak terlalu panas, tidak terlalu terasa rimas, udaranya nyaman, tidak melemaskan dan berbau enak dalam persekitaran tersebut seseorang akan merasa senang hati dan dapat mengamalkan nilai bersopan santun. Oleh itu, pembinaan sebuah bangunan amat menitikberatkan objektif reka bentuknya untuk keselesaan semua orang.

Reka bentuk merupakan sesuatu penghasilan yang mengandungi unsur-unsur dasar atau unsur formalistik dalam sesebuah gubahan (Siti Zainon,1989:2). Unsur dasar ini mempunyai dua kategori iaitu unsur dalaman dan unsur tampak. Antara unsur seni tampak adalah garisan, bentuk, rupa, ton, warna, dan juga ruang manakala kalau dari segi emosi, ekspresi, fikiran dan jiwa adalah ciri yang terkandung dalam unsur dalaman.

Hasil daripada gabungan unsur dalaman dan unsur tampak akan menghasilkan kesatuan dari segi ukuran, keseimbangan, ragaman serta irama. Kesatuan tersebut akan menghasilkan reka bentuk manakala corak dan motif tercipta daripada reka bentuk yang dihasilkan. Selain itu juga, ragam hias dan reka bentuk corak akan menghasikan nilai estetik yang menarik. Tambahan pula, ragam hias memerlukan bentuk dan gaya melalui penghasilan corak.

Siti Zainon Ismail (1989:10) telah memberikan makna tentang motif dan juga corak dalam reka bentuk. Namun begitu tidak ada perbezaan yang jelas pada motif dan corak kerana keduanya hanya berfungsi sebagai perhiasan sahaja. Reka bentuk ragam hias yang saling berhubung antara satu sama lain adalah motif dan corak. Dalam lukisan, pakaian serta ukiran, motif merupakan unsur yang paling utama. Selain itu, ruangan yang disusun dengan unsur motif akan menghasilkan satu corak.

Bentuk mempunyai nilai yang tiada taranya dalam menentukan peranan gunaan dan sebab dalam penciptaan sesuatu hasil kraftangan. Ia dianggap sebagai rangka pertama dalam proses penciptaan yang ditentukan oleh bahan, proses pengeliuaran serta pemasaran. Tetapi berbeza dengan bentuk atau sistem kraf tangan tradisi yang asalnya merupakan alat keperluan harian dan persediaan untuk kehidupan keluarga serta masyarakat setempat. Dalam penciptaan, reka bentuk gunaan tidak terlalu mementingkan pencurahan perasaan peribadi. Hasil ciptaan merupakan bentuk seragam yang memperlihatkan ciri seluruh keperibadian sesuatu masyarakat yang menghasilkannya.

Siti Zainon Ismail (1996:8) seterusnya mengatakan bahawa reka bentuk estetik ini adalah lebih mengutamakan ragam hias yang mengandungi motif dan corak yang dijadikan sebagai bahan hiasan kepada bentuk luar. Ragam hias biasanya akan ditentukan oleh bentuk dan potongan gaya melalui corak dan motif. Dalam kraf tangan, motif dan corak merupakan pelengkap hiasan bentuk luar.


Elemen Ragam Hias
Kebiasannya bentuk dasar hiasan akan menjadi pola yang berulang dalam satu karya seperti tenunan, songket dan ukiran dianggap sebagai satu ragam hias. Dalam pada itu juga, ragam hias ini kebiasaaan juga disebut sebagai ornamen yang mana perkataan ornamen ini berasal daripada bahasa yunani iaitu ornare yang membawa maksud hiasan atau menghias. Dengan adanya hiasan dalam satu karya seni binanya akan membawa kepada kearah nilai keindahan ataupun nilai estetik dalam karya tersebut.

a) Motif
Ismail Ibrahim (2007:7) menyatakan bahawa motif terhasil melalui satu dorongan dalam diri untuk merakam secara visual. Lantaran itu, terhasilnya sesuatu imej pada sesebuah permukaan. Masyarakat primitif telah merakam imej-imej pada dinding gua dengan tujuan tertentu. Mereka mungkin cuba merakam hasil pemburuannya atau memberi peringatan kepada mereka atas sesuatu aktiviti yang telah dijalankan. Selain itu juga, Ismail (2007) mengatakan bahawa motif dibentuk melalui sususan yang berstruktur melalui pengulangan rupa-rupa atau imej. Penyusuanan motif secara berstruktur dan berulang akan membentuk corak.

Selain itu juga, motif juga merupakan bentuk asas yang mudah didapati daripada rupa motif yang menyerupai bentuk. Selalunya, bentuk yang bulat  membawa maksud bunga (Langer,1967) dalam Ismail (2007:7). Rupa dan garisan akan membentuk penghasilan motif. Motif biasanya dirujuk daripada sesuatu imej yang pernah dilihat lalu dibuat menjadi motif untuk menghiasi sesuatu objek. Motif biasanya memaparkan satu bentuk yang ringkas dan mudah.

Menurut Edward Smith (1993) berpendapat bahawa motif adalah unsur yang berbeza atau boleh diasingkan dalam reka bentuk lukisan, arca, bangunan atau corak. motif juga membawa maksud yang menjadi corak atau dasar dalam lukisan. Selain itu, dalam karya pelukis motif  adalah corak dan tema yang dibuat berulang pada karya mereka. Siti Zainon (1997:9) turut mengatakan bahawa motif merupakan imej atau rupa dasar kepada pembentukan corak.  Imej ini dirujuk daripada sesesuatu, imaginasi cerita, tema ataupun sesebuah objek yang telah ditransformasikan kepada sesebuah imej mudah atau simbol.

 Motif juga diklasifikasikan sebagai tema utama, manakala pola adalah unsur-unsur visual yang disusun sedemikian rupa sehingga mereka meliputi kawasan yang sama dengan bentuk motif. Susunan motif adalah huraian yang paling sesuai untuk corak (Siti Zainon Ismail, 1997:9). Selain itu juga, kadang kala motif dihasilkan daripada imej yang kita lihat dan dijadikan untuk menghiasi objek tertentu. Misalnya imeh flora ataupun fauna. Biasanya motif memaparkan satu bentuk yang ringkas dan mudah. Apabila imej tersebut mengalami proses tansformasi atau berlaku perulangan imej maka pembentukan corak akan berlaku.

Dalam buku Lucas Chin (1991) mereka mengkaji berkaitan pantang larang, alat-alat kesenian, cara hidup, dan etnik di Sarawak. Melalui buku tersebut, kajian lebih kepada perbezaan dan persamaan cara pengolahan dan bentuk motif diantara masyarakat Iban dengan masyarakat lain seperti Melanau, Kayan, dan sebagainya.[3]

Menurut Ganjing A.A (1991) legenda kaum dayak mengukir kerana permintaan oleh tuhan ataupun petara. Dalam sistem tulisan, masyarakat iban hanya berpandukan sistem turai iaitu ukiran pada tongkat lemambang sahaja sebagai catatan peristiwa. Banyak ukiran yang dihasilkan adalah hasil daripada bunga ukir dimana setiap bahagian ukiran tersebut terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu bahagian batang, pohon, pucuk dan juga daun ukir. Kebanyakkan motif ukiran yang dihasilkan adalah menyerupai binatang, manusia burung, naga dan juga pengaruh antu dalam ukiran mereka. Masyarakat Iban akan membuat ukiran pada sarung parang, tangkai parang, perisai ataupun terabai, pua kumbu dan juga sungkup. Ukiran tersebut bertujuan untuk mengekalkan identiti mereka sendiri.

Selain itu, menurut Edric Ong (1999), dalam motif pua kumbu pula mereka akan menenun banyak motif berdasarkan antropomorphs, iaitu penghasilan bentuk motif engkeramba. Motif engkeramba adalah motif yang berbentuk manusia yang mempunyai semangat untuk menjaga tanaman dan juga rumah. Selalunya kalau dibuat dalam bentuk ukiran patung engkeramba akan diletakkan pada bahagian depan gerbang rumah panjang. Selain itu juga, pengaruh motif zoomorphs juga dominan dalam penghasilan pua kumbu iaitu bentuk binatang. Motif ini akan juga dipengaruhi oleh binatang dalam kategori binatang vertebrata dan invertebrata.

Dalam Glosari Seni lukis Dewan Bahasa dan Pustaka (1993), motif merupakan corak dan tema yang diulang oleh seseorang pelukis atau pengkarya dalam karya manakala simbol adalah tanda digunakan untuk melambangkan seseorang ataupun sesuatu benda. Misalnya, motif kelindu dan motif cunggit dalam masyarakat Iban dihasilkan pada tenunan dan juga ukiran adalah hasil daripada buah fikiran untuk menyampaikan seni yang diilhamkan daripada pengaruh persekitaran. Pengaruh persekitaran yang konvensi menjadilkan motif yang dihasilkan berfungsi sebagai simbol kepada masyarakat dan karya.


b) Corak
Menurut Ismail Ibrahim (2007:10), corak permukaan akan menyentuh mengenai struktur reka bentuk serta reka corak pada permukaan objek. Lakaran corak terhasil daripada gabungan pola-pola kecil yang menggabungkan garisan dan rupa yang diolah berulang ulang pada permukaan tersebut. Corak juga dihasilkan secara berstruktur dan penekanan terhadap pengulangan motif.

Siti Zainon (19977:8) mengatakan corak adalah hasil daripada rupa kecil yang dibuat secara berulang-ulang sehingga menghasilkan pola yang besar.  Secara keseluruhannya corak dan bentuk akan menghasilkan objek seni yang mempunyai fungsi dan sebagai hiasan. Kekuatan struktur dan juga dasarnya akan menghasilkan pembentukan corak yang menarik dimana ianya disusun dalam bentuk rupa organik, rupa geometri ataupun gabungannya yang disusun berulang berdasarkan strukturnya.


Kajian Ragam Hias Iban dalam Konteks Seni Tampak
Takrifan seni menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2005) adalah karya lukisan sajak, dan muzik yang dihasilkan menerusi bakat seseorang dan kecekapan daripada ciptaan. Selain itu juga, dalam Glosari Seni Lukis (1993) simbol bermaksud tanda untuk melambangkan seseorang ataupun sesuatu benda yang mempunyai simbolik di sebaliknya.

Anna Durin (2002:116) menjelaskan simbolisme dalam konteks seni rupa bererti suatu perlambangan kepada sesuatu unsur yang harus dinilai secara mendalam. Perkataan simbol mempunyai kaitan antara manusia dengan budaya sesuatu masyarakat. Simbolisme bersifat tersembunyi di sebalik penghasilannya di samping nilai dan kesan daripadanya kepada penganyam dan pengukir berkenaan. Selain itu  juga, ia merupakan sesuatu yang memerlukan pemahaman dan daya pemikiran yang tinggi untuk dihayati. Simbolisme terbentuk daripada perkembangan tamadun manusia yang berlandaskan kepada kepercayaan dan nilai-nilai hidup. Oleh yang demikian, pengkaji berpendapat banyak pengertian dan sikap memperingati. Justeru, simbolisme itu adalah alat penyampaian suatu mesej secara tidak langsung dengan sopan santun. Pada pendapat pengkaji, orang Iban di Sarawak adalah sama dengan masyarakat Melayu, iaitu mereka juga mempunyai sifat yang simbolik semasa berfikir, perasaan dan juga tingkah laku.

Yatim (2000: 22-26) mengatakan bahawa masyarakat Iban banyak juga menggunakan motif-motif yang berunsur flora dan fauna dalam kraftangan mereka. Hal ini kerana, unsur-unsur tumbuhan sangat sesuai dibentuk dan digayakan mengikut kebijaksanaan orang yang menganyamnya. Tumbuhan yang sering dipilih oleh masyarakat Iban ialah tumbuhan yang ada di sekeliling kehidupan mereka. Sebagai contoh, motif pucuk rebung, sayur nipah, buah nipah, buah rambing, buah bangkit, buah pedada, kara, akar kara, buah empit, lelingkuk, bingka lia dan lain-lain. Selain daripada tumbuhan, haiwan juga turut banyak digunakan dalam anyaman dan kraftangan yang lain. Antara haiwan yang digunakan ialah mata ulat  foto 2.6 (i), lang, burung punai, mata punai, siku ensuluai, lelambak dan sebagainya. Selain itu, motif yang berkaitan kosmologi juga digunakan seperti motif bulan, senulau, sapar langit dan sebagainya.

Secara amnya, motif yang terdapat pada pua kumbu masyarakat Iban adalah berbentuk geometri. Hal ini demikian kerana, cara yang digunakan mereka untuk menenun adalah kaedah penenunan yang berpetak. Dari segi bentuk pula lebih kepada bentuk simetrikal iaitu motif Antromorph’ dan ‘Zoomorps’. Dalam kedua bentuk simetrikal tersebut melambangkan bentuk manusia dan juga haiwan. Namun begitu, motif yang dibuat pada ukiran adalah lebih berbentuk organik, dinamik dan kompleks. Pengukir menggunakan struktur ukiran iaitu kelok “J”, “w”,”c” dan kelok “O” untuk menghasilkan motif (Anggat Ganjing, 1990). 

Antara nama yang digunakan untuk jenis daun ukiran tersebut adalah a) Gelung Lemiding, b) Gelung Pala Belula, c) Gelung Tangkung Kenyalang, d) Melenti Terus, e) Enchanggak Juring, f) Gelong Nikal, g) Gelung Nunduk, h) Gelung Nundok Bertangkal Dua, i) Gelung Bekaul, j) Begulong Ke Atas Bertangkal Tiga, k) Gelung Nunduk Melenti Terus, l) Gelung Hulu Jempol. Bagi foto 2.7 (ii) m) Gelung Kelindu, n) Gelung Kubuk, o) Gelung Demam, p) Sirih Abap, q) Kuku Beruang, r) Gelung Bertangkong, s) Gelong Susuh Ayam, t) Semunjing, u) Gelung Tunduk Melentik Keatas, v) Gelung Genggam, w) Bunga Tapang Bubut, x) Gelung Pakis Melentik Terus, y) Sikat-Ikat, z) Sangkuh Undai, za) Kepayang Ai.

Dari segi pembuatan, kebiasannya motif akan diukir pada objek keras seperti buluh, batu, kayu, tembikar dan kegunaan harian yang lain. Selain itu, motif pada ukiran juga akan dicacah pada badan lelaki ataupun perempuan dipanggil kelingai atau tatu. Bagi motif yang dihasilkan pada pua kumbu ia akan dibuat di tempat menenun dikenali sebagai tumpoh dan jengkuan. Alat ini adalah alat yang penting untuk menghasilkan pua kumbu.

Selain itu, ukiran pacat dijadikan pengisian ruang pada parang ilang yang bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan pada sebelah kiri yang mesti menyamai sebelah kanan. Komposisi yang seimbang pada bahagian hulu parang ilang  adalah penting bagi memudahkan ianya digenggam ketika digunakan. Hal tersebut telah menunjukkan bahawa, penggunaan komposisi dalam pembuatan penting untuk keselesaan pengunaannya. Pada zaman dahulu, penggunaan warna merah pada terabai adalah sangat penting kerana, ia bertujuan untuk menakutkan musuh. Warna yang paling dominan dalam penghasilan terabai, pua kumbu dan parang ilang adalah warna monokrom iaitu warna tanah, kuning, merah redam dan juga merah kundang.

 Anna Durin (2011: 307-314) mengatakan bahawa tenunan motif yang berbentuk abstrak amat menyukarkan untuk kita melihat motif dan mengenali nama nama motif tersebut namun ianya bergantung kepada idea dari penenun itu sendiri. Jikalau seseorang itu bukanlah seorang penenun adalah amat sukar untuk mengenali maksud serta mengenali nilai budaya yang terdapat pada tenunan tersebut. oleh hal yang demikian, maklumat daripada responden adalah amat diperlukan.


 Motif seni kraftangan masyarakat iban

 Antara nama yang terdapat dalam seni kraftangan masyarakat Iban adalah seperti berikut:

a) Motif Lelanjang Bungai Nuing
Motif ini diciptakan dan dinamakan berdasarkan seorang dewa perang masyarakat Iban iaitu Bungai Nuing. Menurut cerita lisan, Bungai Nuing merupakan seorang yang berani dan gagah serta digelar sebagai dewa perangdalam masyarakat Iban. Selain daripada perwatakannya yang berani, dia juga merupakan seorang yang suka bercakap besar. Kepercayaan para penenun terhadap kehebatan Bungai Nuing menyebabkan motif tersebut diberi nama dewa berkenaan.



b) Motif Gumbang Besimpan
Motif seterusnya adalah bernama Gumbang Besimpan yang membawa maksud yang sangat mendalam. Gumbang bersimpan adalah gelombang yang berpusar dan boleh menyebabkan tenggelam serta membunuh manusia. Antara nama khas motif ini adalah Pasang Nyegang Gumbang Besimpan Mangka Ka Tandan Apung Berayah. Maksudnya disini adalah, pukulan ombak yang besar dan menghempaskan tandan pokok apung ataupun nipah. Tandan yang bergoyang boleh diibaratkan sebagai tarian ritual yang dipersembahkan untuk  aktivit pemujaan dewa dan dewi petara. Tarian tersebut dinamakan sebagai berayah.

 Motif Gumbang Besimpan (Linggi, 2001:83)

c) Motif Ringka Antu Pala
Motif Ringka Antu Pala dihasilkan daripada pengaruh mengayau iaitu kepala yang dipenggal. Maksud ringka adalah bekas tempat meletakkan antu pala yang dibuat daripada rotan dan berbentuk bulat ataupun bujur. Selepas kepala dimasukkan dalam bekas tersebut ia akan disalai dan digantung pada siling ruai rumah panjang. Pada masa yang sama ia bertujuan untuk menunjukkan kehebatan dan kegagahan seseorang yang memperoleh kepala tersebut. Nama khas motif yang selalu digunakan untuk menunjukkan antu pala ini adalah Ringka Antu Pala Nyabak Lelega Duduk Atas Bedilang. Maksud motif tersebut adalah antu kepala tersebut menangis  dan sedih sambil duduk di atas dapur khas iaitu bedilang tersebut

Motif Ringka Antu Pala (Linggi, 2001: 85)

d) Motif Lang Tuai
Selain itu, motif yang menjadi kepercayaan masyarakat Iban adalah motif Lang Tuai. Motif tersebut terhasil daripada kepercayaan terhadap dewa perang mereka iaitu Aki Lang Singalang Burung. Berdasarkan cerita lama, masyarakat Iban percaya bahawa dewa perang tersebut memiliki ilmu sakti. Oleh hal yang demikian, mereka turun untuk mengayau perlu mengadakan ritual pemujaan terhadap dewa tersebut. Motif tersebut dikategorikan tinggi pangkatnya dan tidak boleh dihasilkan sembarangan kecuali mereka yang mempunyai tangkal pelindung sahaja dan tergolong dalam status Indu Takar.

 Motif Lang Tuai (Linggi, 2001: 88)

e) Motif Sepit Api 
Kepercayaan masyarakat Iban terhadap dewa perang yang membantu dalam aktiviti mengayau menjadikan banyak motif dihasilkan daripada pengaruh tersebut. Motif Sepit Api adalah salah satu daripada pengaruh kepercayaan tradisi tersebut. Sepit api merupakan penyepit untuk menyepit bara api. Selain itu, motif ini juga mempunyai nama lain iaitu sepit api ketam bejamang dan mempunyai isteri yang bernama indai karung besi. Maksud motif tersebut adalah menggambarkan seorang dewa yang berani dan gagah walaupun apa jua rintangan yang dihadapi.


 Motif Sepit Api (Linggi, 2001: 98)

f) Motif Gajah Meram
Motif gajah meram juga antara motif yang terdapat dalam kraftangan masyarakat Iban terutamanya pada pua kumbu. Gajah meram merupakan seekor gajah betina yang menjaga dan menyusukan anaknya. Motif ini membawa maksud tersirat bahawa seorang perwira yang sudah mendapat kepada selepas aktiviti mengayau akan menjaga kepada tersebut dan menyalai kepala tersebut dan tidak meninggalkan kepala tersebut di tanah. Pengaruh ritual perperangan juga mempengaruhi kepala motif gajah meram tersebut. selain itu juga, ia bertujuan untuk memuja dewa perang iaitu aki lang sengalang burung. Anggat Ganjing (1991), mengatakan bahawa motif dalam masyarakat Iban kebanyakannya dipengaruhi oleh kepercayaan mereka terhadap dewa yang tinggal di atas langit yang dikenali sebagai Panggau Libau.

 Motif Gajah Meram (Linggi, 2001:102)


Sebahagian daripada motif-motif pua kumbu seperti yang dinyatakan dicipta dan juga diberi nama melalui pengaruh ngayau. Budaya tradisi ngayau juga telah memberi ilham kepada penenun-penunan untuk mencipta motif-motif berkenaan.


 Aspek Reka Bentuk
Reka didefinisikan sebagai proses kreatif dan inovatif untuk menghasilkan sesuatu benda ataupun ciptaan yang baru hasil daripada ilham dan sumber idea benda yang lama. Bentuk pula didefinisikan sebagai  hasil ciptaan penggunaan bentuk melalui  kejuruteraan yang menggunakan ilmu seni, sains dan matematik.

Reka bentuk boleh diertikan sebagai seni bina, seni terapan, dan pelbagai pencapaian seni kreatif yang lain. Reka bentuk juga digunakan sebagai kata kerja dan kata nama. Dalam kata kerja reka bentuk membawa maksud langkah untuk menciptakan dan membuat sesuatu objek yang baru. Manakala dari segi kata nama pula, "reka bentuk" adalah hasilan terakhir proses kreatif, sama ada sebagai sebuah kertas kerja, rencana, permodelan, persembahan atau sebagai bentuk objek yang nyata.

Proses perekaaan merangkumi aspek estetika fungsi, dan pelbagai aspek lain yang datang daripada penyelidikan serta pemikiran. Seorang pereka hendak seorang yang mempunyai sifat daya kreatif yang tinggi. Barulah akan terhasilnya produk yang baru dan berkualiti. Selain itu, sifat inovatif juga harus ada dalam diri seseorang pereka. Sekiranya seseorang itu mempunyai sikap inovatif maka ia akan membolehkan dia mencipta serta cara baru yang berguna untuk semua. Dengan adanya sifat sedemikian, seorang pereka akan menghasilkan mutu reka bentuk yang baik.

Perkataan reka bentuk pula seringkali dikaitkan sebagai kaedah penghasilan. Dalam bidang reka bentuk, penghususannya lebih kepada melihat imej pada seni kraf. Selain itu, seni reka juga dikaitkan seni tampak yang dipersembahkan kepada orang ramai dan awam ataupun dikenali sebagai komunikasi awam yang mengandungi unsur idea seni berdasarkan seni warna, garisan, bentuk, rupa dan warna.

Dalam Reka bentuk ia terdiri daripada dua perkara, iaitu proses dan produk. Produk adalah hasil, manakala proses pula merupakan perancangan, pengelolaan, pelaksanaan serta pencapaian unutk memenuhi sasaran.. Menurut Davis (1958), terdapat dua unsur yang mempengaruhi  iaitu buatan manusia dan sumber asli. Untuk memahami reka bentuk, perlu tahu yang mana perbezaan dan persamaan. Untuk memahami perkara tersebut, pengkarya hendaklah mengalami proses awal dan akhir dalam reka bentuk. Dalam hal ini, lukisan merupakan perkara penting paling mempunyai perkaitan dengan penghasilan reka bentuk.

Menurut Lawson (1994), penggunaan simbol berdasarkan elemen reka bentuk seperti warna, tekstur, garisan dan bentuk akan menyampaikan mesej komunikasi dan tema yang penting kepada khalayak ramai. Seniman selalunya akan membuat manipulasi dan bebas dalam menghasilkan reka bentuk. Mereka juga akan membuat penyesuain dan perubahan sekiranya ada masalah agar ianya lebih berkesan. Misalnya, dalam membuat lukisan, mereka akan menghasilkan reka bentuk dan membuatnya pada kraf hasilan daripada lukisan tersebut. sebagai seorang seniman, perkara yang harus diikuti adalah seni dan sains (Lawson, 1994). Oleh hal yang demikian, masalah yang dihadapi oleh pereka adalah aktiviti yang melibatkan reka bentuk. 

Menurut Lauer (2003), reka bentuk adalah unsur yang berkaitan dengan fungsi hiasan dan juga fungsi gunaan yang melibatkan proses. Reka bentuk produk pula, ia mengikut trend semasa. Fungsi gunaan adalah reka bentuk yang dibuat dalam untuk sesuatu bidang yang dapat praktikkan dan dihayati. Dalam fungsi hiasan pula ia melibatkan suatu penghasilan daya kreativiti berbanding dengan prinsip gunaan. Antara tiga perkara yang penting untuk menghasilkan reka bentuk iaitu memikir, melihat dan membuat. Dalam penghasilan sesuatu reka bentuk, proses yang melibatkan pemikiran amat penting agar masalah senang diselesaikan. Selain proses memikir, proses membuat eksperimen visual adalah amat penting. Ini kerana, ia berkaitan dengan matlamat dalam reka bentuk yang melibat pemikiran. Reka bentuk ruang juga amat penting untuk ketenangan mental dan fizikal kepada penghuninya.

Secara ringkasnya, reka bentuk  bukan sahaja untuk menimbukan nilai estetika, namun untuk dijadikan keperluan kepada masyarakat. Selain itu, kepentingan reka bentuk adalah demi menjana kreativiti dan idea yang bernas serta rasional untuk menghasilkan sesuatu produk dan benda sama ada untuk keperluan harian, untuk keperluan awam dan sebagainya.


 Penutup
Secara keseluruhan, pengkaji ingin menyampaikan signifikan dalam mengenal pasti unsur-unsur kesenian tradisional dan prinsip seni yang dapat dihasilkan dalam membuat reka bentuk dan juga ragam hias pada monumen sungkup.  Selain itu, perbandingan kepercayaan masyarakat dahulu dan kini penting untuk mengenali fungsi monumen sungkup sama ada dari segi reka bentuk dan juga ragam hias tersebut terhadap kehidupan harian dan budaya mayarakat Iban itu sendiri. Kepentingan lain adalah penyelidik ingin mengenalpasti reka bentuk sungkup  dan ragam hias motif dari sudut bahasa seni tampak dan prinsip rekaan seperti penggunaan bentuk, warna, komposisi, tekstur,keseimbangan,kontra, harmoni dan sebagainya. Pengkaji juga mengkaji berkaitan pengaruh budaya yang mempengaruhi kepada kesenian monumen sungkup itu sendiri. Disamping itu juga, serba sedikit tentang mengkaji penerapan motif-motif etnik di Sarawak yang digunakan sebagai unsur keindahan dalam menghiasi monumen tersebut.

Keseluruhannya, masyarakat Iban adalah masyarakat yang mempunyai cara hidup dan tradisi yang penuh dengan tatacara adat dan budaya. Kehidupan mereka adalah menarik sekali untuk diterjemahkan dan diceritakan. Melihat dari aspek, sosial, ekonomi dan politiknya berbeza dengan kaum-kaum lain di Malaysia ini. Hal ini digambarkan dengan memetik pendapat Vinson H. Sutlive (1978)  dalam bukunya yang berjudul The Iban Of Sarawak seperti berikut:

“The Ibans have built thier world out of natural, social and metasocial order to which they have perceived themselves as belonging. Plants, animals, hills,sun moon, stars , ancestral spirits and other groups have been brought together in the ethnoscience and mythology by which the Iban have developed and manipulated the symbols which have helped them understand thier world the rationalize thier behaviour.”

Pelbagai cara untuk mengenali sesebuah masyarakat terutamanya menikmati nilai budaya, norma kehidupan mereka disamping kekuatan pegangan adat dan tradisi mereka. Masarakat iban mempunyai kepelbagai adat dan budaya. Namun budaya yang diketengahkan oleh pengkaji semakin kurang dilaksanakan dan upacara terhadap perayaan Gawai Antu dan pembinaan sungkup dan juga membuat anyaman garong. Hanya gawai dayak saja popular kerana diraikan setiap tahun pada awal bulan jun di Sarawak untuk menyambut berakhirnya musim menuai.

Walau bagaimanapun, pada masa kini, adat dan tradisi masyarakat Iban sudah banyak yang telah diabaikan kerana adanya pengaruh agama yang tetap dalam masyarakat tersebut. Banyak adat dan budaya yang dilarang dalam agama. Antaranya adat-adat yang menjurus kepada kepercayaan karut, animisme dan adat-adat yang difikirkan tidak logik untuk diamalkan pada masa sekarang. Masyarakat moden sudah maju dan pemikiran mereka pun berubah ke arah yang lebih moden.



[1] Mentera yang dituturkan oleh lemambang
[2] Penyelenggara Cerita Rakyat Iban, Dewan Bahasa dan Pustaka terbitan tahun 1989.
[3] Sarawak Cultural Legacy a living tradition. Society Atelier Sarawak. Eagle Trading Sdn. Bhd. Kuching.

No comments:

Post a Comment

ADAT KELAHIRAN MASYARAKAT MURUT TAHOL SAPULUT, NABAWAN PENGENALAN Perkataan  Murut  di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yan...