ADAT KELAHIRAN MASYARAKAT MURUT TAHOL SAPULUT, NABAWAN
PENGENALAN
Perkataan Murut di
Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah
tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum
Dusun. Kaum Murut juga merupakan suku kaum yang tertua di Sabah yang datang
dari Annam, Indo-China dan kepulauan Filipina. Mengikut Porllard, istilah
Murut berasal dari akar kata purut[1] iaitu berian atau hantaran
mas kahwin. Kebiasaannya, kaum Murut terdapat di Sabah serta wilayah
perbatasan Kalimantan dan Sarawak. Kaum Murut ini merupakan suku etnik
ketiga terbesar di Sabah.
Di Sarawak pula, terdapat juga
kaum Murut, akan tetapi suku kaum ini amat sedikit kerana kaum ini terletak di
bawah kaum Orang Ulu iaitu mewakili peribumi kecil sahaja. Kaum Murut di Sabah menetap di Tenom, Kemabong,
Pensiangan dan Keningau. Kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagal,
Tidung, Timugan, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan dan Murut Serundang.
Selain itu, kaum Murut juga mendiami di rumah panjang yang berhampiran tepi
sungai. Kaum Murut menganut agama Kristian dan sebahagian lagi menganut agama
Islam.
Menurut
Kamus Dewan Edisi keempat, suku kaum Murut adalah suku kaum peribumi Sabah yang
tinggal di daerah Tenom, Keningau, Sipitang, Pensiangan dan Nabawan. Kegiatan
utamanya adalah menanam padi huma, berburu dan memungut rotan, madu lebah dan
damar. Mereka tinggal di rumah panjang dan hidup dalam keluarga yang besar.
Masyarakat Murut merupakan suku bangsa yang tertua sekali di Sabah dan
dipercayai datang dari Annam, Indo-China dan sampai ke Sabah melalui kepulauan
Filipina.
Cara hidup
mereka hampir sama dengan cara hidup bangsa Mois iaitu orang asli negeri
tersebut. Mereka juga mempunyai banyak persamaan dengan orang Dayak di Sarawak.
Kawasan penempatan mereka ialah daerah Tenom, Sapulut, Rundum dan Sipitang.
Murut Tahol atau lebih dikenali sebagai Murut Tagal tinggal di kawasan
pedalaman daerah Nabawan yang hampir dengan kawasan Kalimantan, Indonesia.
Berikut dipaparkan adat resam yang diamalkan oleh Murut Tahol di Kampung
Lotong, Sapulut, Nabawan, Sabah.
ASAL NAMA
SAPULUT
Nabawan
terletak di pedalaman Sabah iaitu di bahagian Pantai Timur Kepulauan Borneo.
Populasi penduduk dianggarkan seramai 23,890 orang pada tahun 2000 dan
kebanyakkannya daripada etnik Murut. Daerah Nabawan meliputi kawasan 6089
kilometer.
Terletak di
bahagian Selatan Sabah dan bersempadan dengan Tawau dan Kinabatangan di
bahagian Timur manakala Keningau dan Tenom di bahagian Barat Sabah[2]. Sapulut
berada dalam Daerah Nabawan. Sapulut terletak di sepanjang Sungai Sapulut.
Sapulut terletak berdekatan dengan Gunung Antulai yang berketinggian 1, 713
meter. Kawasan yang hampir dengan Sapulut adalah Batu Punggul iaitu
sebuah kawasan tarikan pelancong. Kaum yang mendominasi Sapulut adalah dari
kaum Murut Tahol. Sepanjang Sungai Sapulut terdapat banyak kampung di bahagian
kiri dan kanan. Mereka mendirikan petempatan di sepanjang Sungai Sapulut.
Lokasi kajian kami ialah Kampung Lotong yang masih mengamalkan adat tradisional
dari dahulu lagi.
Menurut
penduduk Kampung Lotong, nama Sapulut berasal daripada sebuah cerita nenek
moyang mereka. Sapulut diberi nama tersebut kerana dahulunya tempat ini
terdapat banyak beras pulut. Maklum balas daripada salah seorang infoman kami
iaitu Encik John Bin Insim[3], ada sebuah
keluarga singgah di sebuah rumah di sini yakni kini dikenali sebagai Sapulut
dan telah dijamu dengan pelbagai makan termasuklah nasi pulut. Keluarga
tersebut telah jatuh cinta dengan sambutan mesra daripada penduduk kampung dan
terpikat dengan nasi pulut tersebut. Lantas, keluarga tersebut menamakan
kawasan tersebut sebagai Sapulut bersempena nasi pulut yang telah dihidangkn
kepada mereka.
Kawasan
kajian yang dipilih turut menyimpan rahsia tersendiri apabila kami menemubual
informan kedua kami menceritakan asal nama Lotong yang
bermaksud lubuk. Seperti yang diceritakan kepada kami, ada sebuah
keluarga dari hulu Pensiangan telah menyusuri sungai menggunakan perahu kerana
itu adalah satu-satunya kaedah pengangkutan utama. Mereka pergi untuk berburu
lalu terjumpa lotong yang sepanjang 4 kilometer. Mereka
singgah untuk memukat dan mendapat banyak hasil tangkapan. Justeru, keluarga
tersebut juga berhasrat untuk tinggal di pinggir lubuk kerana tanahnya yang
sesuai untuk aktiviti bercucuk tanam.
UPACARA ADAT
KELAHIRAN
PANTANG
LARANG SEMASA MENGANDUNG
Apabila satu
pasangan yang telah berkahwin bakal mendapat anak, pasangan tersebut akan
dipanggil oleh ibu bapa mereka untuk diberi pelbagai amanat dan nasihat. Antara
pantang utama yang diberitahu oleh informan[1] ialah ibu tidak
boleh teragak – agak apabila hendak masuk atau keluar dari mana – mana tempat.
Hal ini dikhuatiri akan menyebabkan anak yang dikandung akan teragak – agak
untuk keluar semasa proses bersalin kelak.
Tambah beliau lagi dari aspek
perbuatan, pantang larang banyak menjurus kepada pihak suami dan suami tersebut
agak terikat dari segi tindakan dan perbuatannya. Misalnya, suami tidak boleh
memukul atau membunuh haiwan. Mereka juga dilarang untuk mengejek orang kurang
upaya dan haiwan. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kecacatan dan
anak tersebut akan panjang umur selepas dilahirkan. Pantang ini juga dikenakan
kepada isteri yang sedang mengandung.
Dalam tempoh ahali ibu akan
mengidam pelbagai jenis makanan termasuk yang tidak logik. Namun begitu, ibu
tidak boleh mengambil makanan seperti daging haiwan yang telah mati atau
bangkai tanpa diketahui puncanya kerana dipercayai anak akan berbau dan pendek
umur. Selain itu, ibu yang mengandung juga ditegah untuk memakan kura – kura
dan labi – labi kerana sifat mereka yang memasukkan dan mengeluarkan
kepala akan diikuti oleh bayi semasa proses bersalin.
Menurut informan seterusnya,
memakan daging harimau juga dilarang sama sekali agar anak tidak menjadi ganas,
garang dan pemarah seperti harimau. Begitu juga dengan daging monyet
terutamanya tangan monyet dan jari-jari monyet kerana menurut kepercayaan
masyarakat Murut Tahol, memakan tangan monyet tersebut akan membawa kesan yang
negatif iaitu anak yang bakal dilahirkan akan menjadi pencuri apabila besar
kelak.
Masyarakat Murut Tahol
mempunyai banyak adat dan pantang larang dalam pemakanan bagi wanita yang
mengandung demi mengelakkan anak yang bakal dilahirkan tidak mempunyai masalah.
Maklumat dari informan menyatakan bahawa tidak semua haiwan dapat dimakan
semasa mengandung. Sebagai contoh, manggas iaitu sejenis
tupai yang tidak boleh dimakan kerana anak tersebut boleh mendapat penyakit
gila babi. Daging haiwan yang berbulu hitam juga tidak boleh dimakan oleh si
ibu kerana menurut mereka, anak tersebut akan cepat atau mudah pengsan[6].
Malahan tidak semua buah –
buahan yang ada dapat dimakan oleh ibu yang mengandung dalam kelompok
masyarakat Murut Tahol misalnya buah durian tidak boleh dimakan kerana hal ini
bertujuan untuk mengelakkan bayi yang lahir akan mengalami bau badan yang
semulajadi. Begitu juga dengan memakan haiwan yang sedang bunting kerana
dikhuatiri anak yang dikandung tidak panjang umur. Selain itu, ibu mengandung
dilarang memakan haiwan yang sudah mati kerana tujuan yang sama iaitu anak yang
bakal dilahirkan mengalami masalah bau badan.
Masyarakat Murut Tahol amat
berpegang kuat kepada adat dan pantang larang semasa mengandung walaupun
agak unik dan kolot bagi masyarakat moden sekarang tetapi itulah budaya mereka.
Ibu tidak dibenarkan untuk pergi ke kawasan perkuburan atau menghadiri upacara
pengebumian. Hal ini akan menyebabkan anak yang dikandung meninggal atau jangka
usia membesar yang pendek. Malahan, ibu yang mengandung dilarang tegas untuk
menyentuh tubuh orang yang sudah mati kerana adat mengatakan jika disentuh maka
anak yang dikandung tidak panjang umur kelak[8].
Pada ketika itu,
penggunaan azimat amat terkenal tetapi ketika mengandung ibu tidak
dibenarkan memakai azimat. Perbuatan ini juga akan mengakibatkan anak tersebut
meninggal. Di samping itu, sepanjang ibu mengandung, suami akan
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isterinya dalam menyediakan makan
dan minumnya. Kedua-dua pasangan harus mengawal emosi dan tingkah laku
sepanjang tempoh ibu ahali seperti yang dinasihatkan oleh ibu
bapa dan mertua mereka.
Tambah informan lagi, kaum
Murut Tahol juga mempercayai bahawa dengan meminum lendir daripada belut yang
direbus dan makan kacang tanduk serta dengan sedikit bacaan jampi atau mantera
boleh melancarkan proses ahanak yang bermaksud bersalin dalam
masyarakat Murut Tahol[10]. Pantang
larang yang lain pula ialah, sepanjang tempoh lapan hingga sembilan bulan usia
kandungan, ibu tidak digalakkan melakukan perkerjaan yang berat seperti
mengangkat baldi air, ke kebun dan membasuh kain. Hal ini kerana bayi akan keluar
pada bila – bila masa sahaja.
Menurut informan kami
seterusnya, seperti masyarakat Melayu yang mengadakan upacara melenggang perut,
suku kaum mereka juga mempunyai upacara melenggang perut yang dikenali sebagai
upacara angiru ra ohot yang bermaksud melonggarkan pinggang.
Upacara ini akan diadakan di rumah sebelah pihak perempuan dan sepanjang
upacara berlangsung, semua yang terlibat tidak dibenarkan mengeluarkan suara
atau bunyi dan setiap pergerakan yang dilakukan hanya menggunakan bahasa
isyarat sahaja. Acara bermula apabila ibu mentua membawa masuk manik atau vungkas yang
mempunyai ukuran sansiku atau satu siku dengan menggunakan
kain sarung kemudian disambut oleh ibu mengandung yang sedia menanti di ruang
tamu. Vungkas tersebut perlulah di bawa dengan berhati – hati
agar tidak jatuh kerana sekiranya vungkas tersebut jatuh akan
menandakan bayi yang lahir tidak selamat. Sebaik sahaja menerima vungkas tersebut
ibu mengandung akan membawa vungkas tersebut ke bilik tidur
dan meletakkannya ke dalam besin yang berisi air.
Tambah beliau lagi, kaum Murut Tahol beranggapan
bahawa dalam besin itu bayi tersebut akan dimandikan semasa dilahirkan dan
sepanjang usia bayinya. Para tetamu pula hanya berada di luar rumah
sepanjang upacara dan selesai upacara barulah tetamu akan dijemput masuk
dan diadakan keramaian seperti upacara meminum tapai akan diadakan sampai ke
pagi. Upacara ini dilangsungkan bertujuan mengelakkan uri bayi daripada
melekat. Pantang larang yang lain ialah larangan kepada ibu daripada keluar
rumah ketika waktu senja kerana waktu begitu banyak roh – roh jahat atau vail keluar
dan dikhuatiri akan mengganggu bayi yang dalam kandungan.
PANTANG LARANG SEMASA BERSALIN
Adat bersalin masyarakat Murut Tahol sangat
unik. Setelah kandungan berusia sembilan bulan, masa untuk melahirkan telah
tiba. Ibu tersebut pada mulanya tidak dibenarkan sama melakukan banyak
pergerakkan atau berjalan. Perkara ini amat unik jika dibandingkan dengan
sekarang. Doktor memang menggalakkan bakal ibu untuk bergerak bagi memudahkan
proses kelahiran. Ibu mengandung juga akan dibungkus pada bahagian badan untuk
memanaskan badan ibu tersebut untuk menyediakan ibu bersedia untuk proses
kelahiran. Di samping itu, bidan akan memandikan ibu dengan sahumanlaindos iaitu air
rebusan daripada daun serai wangi. Hal ini bertujuan untuk membantu ibu dapat
melahirkan anak dengan lancar dan mudah[18].
Menurut Encik Joseph lagi, si
ibu mengandung akan memakai piluoi. Piluoi ialah
sejenis organ peranakan pelanduk yang kelihatan seakan-akan seperti tanah
liat. Piluoi ini akan disimpan di dalam bungkusan kain
berwarna merah. Kemudian, bungkusan tersebut akan dijahit di kain yang
berbentuk seperti tali pinggang atau lebih dikenali sebagai pipirot.
Ibu akan memakai piluoi ini untuk memudahkan proses naganakan iaitu
proses kelahiran.
Peranan bidan dalam masyarakat
Murut Tahol sangat besar dan penting. Bidan ialah orang yang pakar dalam
membantu proses kelahiran dan menyambut bayi. Bidan akan
turut membantu ibu untuk melancarkan proses kelahiran. Sebelum proses
kelahiran, bidan akan mengurut perut ibu secara perlahan-lahan kerana ibu sedar
bahawa sudah tiba masa ampaliman.Perkara ini bertujuan untuk
memastikan yang anak dalam kandungan bersiap sedia untuk dilahirkan.
Urutan tersebut dilakukan
supaya ibu turut berasa selesa kerana bayi dalam kandungan sentiasa bergerak
kerana sudah masa untuk melahirkan. Di samping itu, bidan akan membacakan ayat
mantera yang berkaitan tentang kelahiran sebelum proses itu. Mantera ini digunakan
untuk membantu ibu memudahkan naganakan. Sebaik sahaja anak
dilahirkan, bidan dengan serta merta memandikan bayi tersebut dengan air suam
untuk membersihkannya. Kemudian bidan akan menunggu tebuni iaitu
uri bayi untuk keluar. Selepas itu, bidan akan turut membersihkan uri bayi
serta menyerahkannya kepada ayah bayi untuk
disimpan.
PANTANG LARANG SELEPAS
BERSALIN
‘Alivasan’ merujuk
kepada proses selesai bersalin. Suku kaum Murut Tahol juga mementingkan
kesihatan ibu yang baru bersalin agar ibu kembali sihat seperti sedia kala.
Setelah bersalin, ibu akan berdiri di depan api atau dalam bahasa Murut ahandar
ra apui yang tertujuan untuk memanaskan badan ibu.
Tambah Puan Inurah lagi,
sebaik sahaja ibu selesai bersalin, bidan akan memandikan bayi dan ibunya pula
akan memakai kain sarong semasa upacara angiru ra ohot untuk
menukar kain yang kotor semasa proses naganakan berlangsung.
Ibu akan berpantang sebaik sahaja alivasan seperti dilarang
melakukan kerja – kerja yang berat yang boleh menjejaskan kesihatan mereka
kecuali sudah sihat sepenuhnya. Waktu berpantang tiada tempoh yang dihadkan
tetapi biasanya ibu mertua akan memberikan tempoh selama satu minggu.
Maklumat informan seterusnya
iaitu Encik John, selama proses berpantang ini ibu tidak boleh mandi
menggunakan air sejuk, tidak boleh menbasuh kain. Sebaliknya ibu lebih
digalakkan berehat secukupnya dan dikehendaki menggunakan baju panjang dan
stoking untuk memanaskan badan untuk kebaikan kesihatan. Manakala menurut
informan Encik Joseph, jika didapati ibu tiada air susu atau hatas ibu
adalah digalakkan untuk untuk makan halia dan buah kepayas yang muda.
Buah tersebut akan dihiris dan direbus bersama dengan air dan boleh juga
dicampur dengan isi ayam sebelum dimakan. Selepas makan air rebusan tersebut
air hatas ibu akan terus mengeluarkan air yang banyak.
Beliau menambah lagi,
sekiranya proses melahirkan di rumah ibu sebelah perempuan, keluarga pihak
lelaki akan datang membawa hadiah atau pengahuyan untuk
bayi yang lahir sebagai tanda kegembiraan dan tanda kesyukuran terhadap ibu
yang selamat alivasan. Akan tetapi, sekiranya melahirkan di rumah
sendiri keluarga pihak perempuan akan membawa ayam betina kampung atau Lupo dan
buah-buahan sebagai hadiah. Namun, hanya ayam putih sahaja digalakkan kerana
dikhuatiri apabila memakan ayam jantan ibu akan mengalami sakit pinggang.
Menurut beliau lagi, ayam
tersebut akan dipotong kukunya. Selain itu, ayam itu juga akan diambilkan
sedikit darahnya dan darah tersebut akan diletakkan pada dahi bayi. Ini bertujuan
untuk mengelakkan pelbagai masalah dan juga bagi menolak bala yang mendatang.
Selepas itu, ayam itu akan dibebaskan berkeliaran tanpa disembuhkan bahagian
yang luka kerana dipercayai lukanya boleh sembuh sendirinya. Namun, andai
mahu diubati luka tersebut, mereka akan membubuhkan serbuk kopi. Ayam tersebut
perlu dipelihara dengan sebaik mungkin tanpa dikurung. Sekiranya ayam tersebut
mati, ini akan menandakan bahawa bala akan datang dan boleh juga digantikan
dengan ayam lain. Namun, ayam tersebut perlu digantikan dengan kadar segera
kerana dipercayai nyawa ayam tersebut sama seperti nyawa anak yang baru
dilahirkan itu.
Bayi pula akan terus
dibersihkan dengan air suam selepas dilahirkan. Selain itu, bayi turut
dimandikan dengan cebisan rumah seperti habuk atau simen rumah kerana
dipercayai anak tersebut akan sebati dengan rumah bagi mengelakkan bayi
daripada kuat menangis. Bayi juga akan sentiasa dijaga dan tidak boleh
ditinggalkan keseorangan kerana dikhuatiri akan diganggu oleh roh jahat
atau vail dalam bahasa Murut.
Beliau menambah, masyarakat
zaman dahulu amat percaya kepada kepercayaan tahyul seperti makhluk halus atau
jin. Begitu juga suku kaum Murut Tahol, mereka percaya bahawa makhlus halus
akan mengganggu bayi jika diletakkan sembarangan. Sifat bayi yang masih lemah
akan membuat mereka mudah diganggu makhluk-makhluk jahat. Oleh itu, suku kaum
Murut Tahol akan meletakkan anak mereka di bawah pokok ketika mereka berkebun
kerana mereka mempercayai pokok ada perlindungan yang akan membantu menjaga
bayi tersebut.
Selain itu, informan
seterusnya memberitahu kami yang mereka juga mempunyai pendapat yang agak
ganjil dan tidak logik jika kita lihat dari perspektif zaman moden sekarang
iaitu kelahiran anak kembar atau nasawulan. Bayi kembar seperti
lelaki dengan perempuan akan dipisahkan samada disingkirkan salah satunya
semasa kecil untuk mengelakkan bala dan ensor iaitu
perasaan tersisih. Suku kaum Murut amat mementingkan adat yang agak ketat suatu
ketika dahulu.
Ibu yang melahirkan anak
kembar juga akan dikenakan sogit selain terpaksa berpisah
dengan anak kembarnya kerana kononnya si ibu sebelum hamil berlaku curang dan
anak tersebut adalah anak orang lain. Namun, adat ini sudah dihapuskan kerana
dipercayai tidak masuk akal. Hadiah yang biasa digunakan untuk membayar sogit ialah
khinzir. Khinzir tersebut diberikan kepada suami untuk disembelih atau
dipelihara. Jika disembelih, khinzir akan diagihkan kepada saudara mara
terdekat untuk menandakan sogit telah dikenakan ke atas isteri[39].
Penyimpanan uri atau tebuni juga
amat penting dan perlu disimpan dengan selamat bagi menjamin kesihatan yang
baik kepada bayi dan anak di masa akan datang. Penyimpanan tali pusat bayi
telah didapati dalam dua versi yang berbeza mengikut informan yang telah kami
temubual di Kampung Lotong, Nabawan Sabah yang merupakan kawasan kajian kami.
VERSI 1.
Tali pusat bayi perlu dimasukkan dalam buluh dan
disimpan di pokok besar agar uri tersebut terjaga dan tidak dimakan haiwan yang
lain. Perbuatan menggantungkan tali pusat dalam buluh pada dahan pokok amat
dilarang kerana dikhuatiri akan ditiup angin dan ini akan membawa makna bayi
tersebut akan menjadi penakut melihat angin, hujan dan panas apabila besar
kelak. Selain itu, uri bayi juga dilarang daripada ditanam atau dikuburkan
kerana akan mengakibatkan anak tersebut menjadi seseorang yang pemarah atau
panas baran. Elakkan juga daripada menyimpan uri tersebut dalam plastik kerana
bayi akan dikatakan seperti katak dibawah tempurung apabila
besar kelak dan tidak boleh hidup berdikari. Menurut beliau juga, tali pusat
bayi akan disimpan pada pokok ara kerana keadaan fizikal ara yang kuat
apabila ditiup angin dan mempunyai cabang yang banyak memudahkan uri disimpan
dengan selamat dan tidak akan dikacau[40] oleh makhlus lain atau
dimakan burung.
VERSI 2.
Tali pusat bayi boleh disimpan di apa – apa
sahaja pokok kecuali pokok ara kerana dipercayai pokok ara banyak
penunggu. Selain itu, uri tersebut juga akan dibalut dengan plastik dan
disimpan dalam tin sebelum diletakkan pada pokok agar tidak dibawa lari oleh
burung. Namun kalau dahulu menggunakan buluh tanpa dibungkus.
UPACARA POTONG RAMBUT
Setelah mencecah umur sebulan, menurut informan
Puan Linarot binti Talub, suku kaum Murut akan mengadakan upacara memotong
rambut yang dikenali sebagai cukur jambul dalam masyarakat Melayu. Ucapara
memotong rambut bermaksud potong rambut kecuali ubun – ubun atau uvut –
uvut. Ini bertujuan agar anak menjadi orang yang berguna atau ternama
iaitu atulai apabila besar kelak.
Upacara ini hanya boleh
dilakukan oleh orang berketurunan ternama atau ulun savitan seperti
ketua kampung, orang yang pernah potong kepala musuh dan juga pahlawan. Mereka
akan menggunakan pisau dan kayu semasa upacara berlangsung dan memotong rambut
mengikut ketetapan masa yang sesuai seperti mengikut waktu bayi dilahirkan.
Sebagai contoh, andai bayi tersebut lahir ketika bulan mengambang maka upacara
juga akan dilangsungkan ketika bulan mengambang.
Selesai pemotongan, rambut
yang telah dipotong akan dicucuk pada manik – manik kesemuanya dan disimpan
atau amului[46] dengan
dibungkus rapi untuk tujuan kesihatan. Ubun – ubun pula akan dibiarkan panjang
dan tidak dipotong kerana ubun – ubun menentukan kesihatan bayi seperti masuk
angin dan tidak akan menjejaskan penglihatan bayi. Ubun–ubun hanya akan
dipotong setelah tiba waktu yang sesuai dan sekiranya ada orang atulai ketika
itu sahaja yang berhak dan layak memotong rambut uvun-uvun tersebut. Jika
tiada atulai maka rambut tersebut akan dibiarkan panjang
sehingga bayi itu meningkat dewasa seperti Joelyvaneo Yoto yang
sampai sekarang masih menyimpan rambut ubun - ubun tersebut sehingga
berumur dua belas tahun sekarang. Ini kerana ketiadaan atulai yang
bertanggungjawab memotong rambut tersebut.
Tambah beliau lagi, uniknya
mengenai rambut anak saudaranya ialah rambut tersebut boleh menjadi penawar
kepada penyakit seperti demam panas tetapi hanya mujarab untuk saudara
kandungnya sahaja. Hujung rambut tersebut akan direndam pada air suam dan air tersebut
akan digunakan untuk memandikan saudaranya yang sakit. Setelah beberapa hari,
saudaranya yang sakit itu akan beransur - ansur sembuh.
UPACARA APAHAIL ATAU
APASAWANG
Upacara ini bermaksud menyumpit sehingga tembus
matahari dalam masyarakat suku kaum Murut Tahol. Upacara ini biasanya
dilangsungkan setelah bayi mencecah umur antara tiga hingga lima tahun kerana
ketika umur ini mereka sudah mampu memegang sendiri sumpitan atau sapok.
Namun, jika umur ketika ini
juga tidak mampu memegang sapuk sendiri untuk menyumpit matahari, dia boleh
dibantu oleh datuknya atau keluarga yang sebelah ibunya sahaja. Ini kerana
upacara ini hanya boleh berlangsung di rumah pihak keluarga perempuan sahaja.
Sebagai contoh, seorang rakan kami iaitu saudara Jackmon Sarat Bin Jaubid telah
membantu budak tersebut memegang sapok semasa upacara
dilakukan pada hari temubual tersebut .
Sebelum upacara berlangsung
dan sementara menunggu matahari terbit, budak yang hendak melakukan sumpitan
akan bersiap kemas dengan bajunya yang rapi dan para tetamu pula akan
dijemput ke rumah perempuan untuk disajikan minuman sebelum upacara
berlangsung. Sementara itu, mentua akan menyediakan peralatan menyumpit
seperti sapok dan gong untuk majlis keramaian sebelah malamnya
pula. Tuan rumah juga akan menyajikan para tetamu dengan makanan dan minuman tapai. Apasawang akan
bermula seawal waktu pagi ketika matahari mula terbit atau sebaik sahaja ada
matahari. Sebelum
menyumpit, datuk atau atulai akan membaca mantera sumpitan.
Menurut Encik Joseph, sekiranya matahari yang
terkena sumpitan itu terpadam sebentar selama beberapa minit sebelum memancar
semula, ini bermakna sumpitan budak itu berjaya dan menandakan dia akan menjadi
orang yang ternama dan disegani apabila dewasa. Manakala, jika tiada perubahan
terhadap matahari tersebut maka anak itu hanya akan menjadi orang yang biasa -
biasa sahaja. Upacara ini masih diamalkan sehingga sekarang kerana terdapat
maksud yang tersirat yang bermakna dan sukar dijangkakan.
KESIMPULAN
Selepas
berkampung selama lima hari dan empat malam di kawasan SK. Lotong,
Sapulut, kami telah mendapat pelbagai maklumat di samping mengenal adat dan
tradisi masyarakat Murut Tahol di daerah Nabawan. Pegangan dan adat resam
mereka masih dijaga malah masih diamalkan. Hal ini untuk memastikan generasi
akan datang boleh mengenali dan merasai pengalaman tersebut. Tradisi yang
dimaksudkan ialah adat dan pantang larang Naganakan iaitu
proses kelahiran.
Boleh dirumuskan melalui
dapatan kajian kami, ibu dan ayah yang bakal menimang cahaya mata sangat
terikat dari aspek perbuatan seharian seperti perlakuan, percakapan dan aspek
makanan. Sebagai contoh, suami dan isteri tidak boleh mengejek orang lain yang
mengalami kekurangan kerana dikhuatiri kekurangan tersebut akan menimpa kepada
anak yang dikandung. Malah, pasangan tersebut hendaklah bertolak ansur, sabar
dan mengawal emosi masing-masing utnuk mengelakkan perkara buruk terjadi pada
keluarga tersebut khsusnya bayi yang bakal dilahirkan.
Dalam proses kelahiran
tersebut boleh dibahagi kepada tiga peringkat iaitu sebelum bersalin, semasa
bersalin dan selepas bersalin. Peringkat awal iaitu sebelum bersalin, keluarga
sebelah lelaki akan datang ke rumah sebelah perempuan untuk mengadakan
Upacara Angiru Ra Ohot yang bermaksud melonggarkan
pinggang. Dalam upacara ini, ibu yang mengandung akan menunngu mertuanya datang
dan mertuanya akan menyerahkan vungkas menggunakan kain
sarong. Ibu yang mengandung akan menerima vungkas tersebut
menggunakan kain sarong juga. Namun semua perbuatan semasa upacara itu hanya
boleh dilakukan menggunakan bahasa isyarat. Ibu mertua juga akan membawa besin
besi, kain sarong baru dan alat sumpitan kepada keluarga tersebut sebagai
hadiah.
Peringkat kedua ialah adat
semasa melahirkan. Ibu akan dimandikan dengan air rebusan serai wangi utnuk
melancarkan proses bersalin. Di samping itu, ibu akan dibantu oleh seorang
bidan yang berpengalaman. Bidan tersebut akan membacakan
mantera agar ibu dapat melahirkan anak dengan lancar. Kemudian, ibu akan
menukar kain sarong yang kotor dengan kain sarong yang dihadiahkan kepadanya
semasa upacara Angiru Ra Ohot. Bidan kemudiannya akan memandikan
bayi yang baru dilahirkan tersebut di dalam besin besi yang dihadiahkan oleh
mertuanya.
Peringkat ketiga ialah pantang
larang selepas bersalin. Ibu akan menjaga dirinya agar tidak jatuh sakit. Aspek
makanan akan dijaga oleh suami dan mertuanya. Ibu akan berehat sehingga sembuh
sepenuhnya, kemudian, anak yang dilahirkan akan dijaga rapi kerana kaum Murut
Tahol percaya bayi atau anak kecil sering diganggu vail iaitu
makhluk halus. Oleh itu, masyarakat Murut percaya jika dengan meletakkan anak
dibwah pokok, anak mereka akan dilindungi. Penyimpanan uri bayi juga
dititikberatkan. Hal ini juga akan menentukan sifat nak tersebut bila besar.
Misalnya, jika ayah menanam uri tersebut, sama sahaja dia menanam anaknya. Jika
uri tersebut digantung, anak akan menjadi penakut. Oleh itu, masyarakat Murut
hanya meletakkan uri anak mereka di pokok yang mempunyai cabang besar supaya uri
tersebut tidk jatuh dan tidak dimakan haiwan.
Apabila anak itu sudah
mencecah 5 tahun atau lebih, akan ada satu upacara khas akan diakan iaitu
Upacara Apasawang. Upacara ini akan dijalankan pada sebelah awal
pagi. Upacara ini dijalankan bertujuan untuk melihat samada anak yang
dilahirkan tersebut bakal menjadi golongan ternama atau orang biasa sahaja. Hal
ini bergantung semasa upacara Apasawang apabila anak tersebut
bakal menjadi ternama ialah apabila matahari disumpit, matahari akan malap buat
beberapa saat kemudian kembali cerah. Namun jika matahari tidak malap apabila
disumpit, anak tersebut hanya akan menjadi orang-orang biasa sahaja. Kemudian
upacara Apasawang akan diakhiri dengan pesta dan tapai dihidangkan
kepada tetamu yang hadir.
Melalui eksplorasi kali ini,
kami bukan sahaja mengenali adat turun-temurun masyarakat yang istimewa ini
malah kami dapat menyelami hubungan yang mesra bersama orang-orang kampung.
Layanan yang mesra, pertolongan serta maklumat orang kampung sangat kami hargai
dan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
[1] Purut merujuk kepada berian atau
hantaran mas kahwin.
[2] Joseph @ Antaing Bin Elloh
(48tahun), SK Sepulot, D/A PPD Pensiangan, Peti Surat 62, 89957, Nabawan,
Pensiangan, Sabah.
[3] Menurut Encik John Bin
Insim, Kampung Lotong, Mukim Sepulut.
[4] Lotong merujuk kepada
lubuk.